Jokowi lawat Kuching bulan depan

Anthea Yap
Oktober 25, 2017 16:16 MYT
Jokowi dijangka menghadiri Mesyuarat Perundingan Tahunan Malaysia - Indonesia bersama Najib.
Presiden Indonesia Joko Widodo atau Jokowi dijadual berada di Kuching, Sarawak selama dua hari bermula 21 hingga 22 November depan.
Jokowi dijangka menghadiri Mesyuarat Perundingan Tahunan Malaysia - Indonesia bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perkara tersebut dimaklumkan Konsul Jeneral Indonesia di Kuching, Jahar Gultom ketika dihubungi Astro Awani pada Rabu.
Menurut Jahar, antara isu yang mungkin dibincangkan oleh kedua-dua pemimpin tertinggi negara itu adalah berkaitan isu sempadan, khususnya melibatkan tiga pintu masuk sempadan antara Sarawak dan Kalimantan Barat.
“Saya percaya mesyuarat perundingan dua hala antara Joko dan Najib akan membincangkan isu mengenai perdagangan serta pergerakan merentas sempadan terutama antara Sarawak dan wilayah Kalimantan Barat, Indonesia,” ujarnya.
Jelasnya, terdapat tiga titik perbatasan Indonesia di Kalimantan Barat untuk dimasuki oleh rakyat Malaysia melalui darat iaitu Aruk yang melintasi Biawak, Lundu; Entikong (melintasi Tebedu) dan Badau (melintasi Lubok Antu).
Selain itu, Presiden Jokowi juga akan menghadiri Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Presiden Jokowi juga dijangka mengadakan sesi dialog bersama 5,000 rakyat Indonesia yang berkerja dan tinggal di negeri itu pada 22 November di Stadium Perpaduan Petra Jaya Kuching.
#Datuk Seri Najib Tun Razak #Forum Ekonomi Islam Sedunia #Johor Gultom #Joko Widodo #Jokowi #Kalimantan Barat #Konsul Jeneral Indonesia Kuching #Kuching #Mesyuarat Perundingan Tahunan Malaysia - Indonesia #Perdana Menteri #Presiden Indonesia #WIEF
;