Johor umum 25 Ogos cuti peristiwa, hargai peminat JDT sempena final Piala FA
Bernama
Ogos 19, 2024 22:12 MYT
Ogos 19, 2024 22:12 MYT
JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor mengumumkan Hari Cuti Peristiwa pada 25 Ogos, sebagai tanda penghargaan kepada peminat kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) sempena final Piala FA 2024.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata pemberian cuti tersebut adalah atas perkenan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail.
"Dengan perkenan Tunku Mahkota Ismail, kerajaan negeri memutuskan untuk mengisytiharkan hari Ahad, 25 Ogos sebagai Hari Cuti Peristiwa bagi seluruh rakyat Johor, sebagai tanda penghargaan buat 'pemain ke-12' (peminat) pasukan JDT dalam Piala FA 2024," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata seluruh rakyat diseru hadir memberikan sokongan kepada JDT yang bertemu Selangor dalam final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 24 Ogos, untuk terus mempertahankan kejuaraan.
"Saya menyeru seluruh Bangsa Johor untuk datang beramai-ramai pada Sabtu ini, bagi sama-sama memberi sorakan dan semangat sebagai 'pemain ke-12' JDT, kita penuhkan lautan merah biru di SNBJ," katanya.
Beliau berkata kemenangan JDT kali ini akan mencipta rekod hatrik menjuarai Piala FA, selepas menjulang piala itu pada 2016 dan dua tahun berturut-turut pada 2022 dan 2023.
Onn Hafiz dalam pada itu berkata kelab JDT telah melalui pelbagai transformasi, rombakan dan kejayaan yang bermula daripada lantikan Tunku Mahkota Ismail sebagai Presiden Johor FA (PBNJ) pada 16 Feb 2012.
"Tahun 2013 adalah tahun pertama JDT atau Harimau Selatan membuat penampilan sulungnya di bawah inisiatif transformasi baharu, dan pada tahun berikutnya kejayaan demi kejayaan mula ditempa bermula dengan menjuarai Liga Super dan mengekalkan rekod kejuaraan selama satu dekad pada tahun lepas," katanya.
Onn Hafiz berkata JDT tidak menunggu lama apabila mencatat sejarah pada 2015 dengan menjadi satu-satunya pasukan Asia Timur yang menjuarai Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan menunjukkan peningkatan konsisten di Liga Juara-Juara AFC, apabila mencatat satu lagi sejarah mampu layak ke pusingan kalah mati 16 pasukan terbaik.
Rekod itu menurutnya amat membanggakan, apabila kelab dari Johor mampu bersaing dengan kelab-kelab terbaik di Asia, sekali gus berada di ranking kesembilan di Asia baru-baru ini dan meletakkan nama Harimau Selatan di pentas tertinggi serta mempromosikan Johor kepada dunia melalui kolaborasi dengan kelab dan jenama terkemuka.
-- BERNAMA