Johor tubuh jawatankuasa khas libat pembangkang bincang dasar pasca-COVID-19
Astro Awani
September 7, 2021 17:23 MYT
September 7, 2021 17:23 MYT
ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri Johor mengumumkan pembentukan jawatankuasa khas yang turut dianggotai pembangkang bagi membincangkan dasar sosial dan ekonomi negeri pasca-COVID-19.
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, berkata pembentukan jawatankuasa khas itu selari dengan komitmen kerajaan negeri untuk mendengar pandangan wakil rakyat termasuk wakil pembangkang.
Katanya, wakil pembangkang akan turut dibabitkan dalam sesi taklimat dan perbincangan yang akan dilakukan pada masa akan datang termasuk gerak kerja untuk merangka Belanjawan Johor 2022.
"Pada hemat saya, wajar bagi kerajaan negeri untuk menambah baik libat urus kerajaan. Libat urus ini (yang) melibatkan kesemua Ahli-ahli Yang Berhormat kerajaan mahupun pembangkang haruslah bersifat berkekalan, tidak bersifat one-off (sekali sahaja) atau buat masa itu sahaja.
"Libat urus berkekalan juga perlu ditambah baik agar meninggalkan impak yang positif kepada sistem demokrasi yang kita junjung," katanya ketika menggulung persidangan DUN Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini hari ini.