Johor tidak lanjutkan waktu operasi Bazar Aidilfitri

Bernama
April 28, 2021 23:58 MYT
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor Ayub Jamil (tengah) menyantuni peniaga-peniaga bazaar ramadhan ketika hadir di Bazar Ramadan Jalan Kemuliaan 2, Taman Universiti Skudai hari ini. - BERNAMA
JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri akan terus mengekalkan tempoh operasi Bazar Aidilfitri yang dilaksanakan ketika ini sehingga ke malam yang terakhir bagi mengekang penularan COVID-19.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Ayub Jamil berkata tempoh operasi yang dibenarkan ketika ini adalah memadai, cukup untuk membantu peniaga, dan kerajaan tiada cadangan untuk melanjutkannya.
Beliau berkata para peniaga pasti akan membuat permohonan untuk melanjutkan tempoh operasi terutama menjelang malam raya bagi membolehkan mereka membuat jualan lelong, namun ia dikhuatiri akan menyebabkan berlakunya pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).
"... mungkin ada yang nak sampai pukul 3.00 pagi, tetapi setakat hari ini, kerajaan negeri memutuskan sampai pukul 12 malam sahaja kerana kita tak nak berlaku kesesakan yang berlebihan sehingga tidak ikut SOP," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Bazar Ramadan di Taman Universiti di sini hari ini.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Jumaat lepas mengumumkan Bazar Aidilfitri di seluruh negara dibenar beroperasi hingga pukul 2.00 pagi berbanding 12 tengah malam sebelum ini, berkuat kuasa Sabtu lepas.
-- BERNAMA
#bazar aidilfitri #tempoh #PKP #perintah kawalan pergerakan #COVID-19 #Ayub Jamil #SOP #Bazar Ramadan
;