Johor terus jadi pintu masuk udara ke utara Semenanjung bagi pelancong dari selatan
Bernama
Julai 31, 2022 15:38 MYT
Julai 31, 2022 15:38 MYT
JOHOR BAHRU: Johor dijangka terus menjadi 'pintu masuk udara' ke negeri-negeri utara Semenanjung termasuk Pulau Pinang bagi pelancong dari bahagian selatan termasuk negara jiran sebagaimana sebelum pandemik COVID-19 melanda.
Ketua Pegawai Eksekutif Firefly, Philip See Yew Jin berkata ini memandangkan pihaknya dijangka mampu menerima 1.8 juta penumpang termasuk pelancong luar negara sehingga hujung tahun ini, dengan kekerapan tiga penerbangan setiap hari bagi laluan Pulau Pinang-Johor Bahru mulai April lepas.
Beliau berkata untuk merancakkan kembali penerbangan di laluan ini, satu perancangan strategik antara Firefly bersama Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Pulau Pinang dan MATTA Johor akan dilakukan.
"Buat permulaan, kami memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) antara ketiga-tiga pihak, di mana pelbagai aktiviti dan kempen menarik akan dirancang bagi mempromosikan produk pelancongan di kedua-dua negeri.
"Firefly telah dimaklumkan oleh MATTA Pulau Pinang dan Johor, di mana mereka juga akan bekerjasama dengan Penang Global Tourism serta Tourism Johor untuk menyenaraikan tempat-tempat menarik yang boleh dikunjungi pelancong," katanya kepada pemberita di Pulau Pinang pada Sabtu.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas pemeteraian MoU antara Firefly, MATTA Pulau Pinang dan MATTA Johor; dengan MATTA Pulau Pinang diwakili Pengerusinya, Vergis Matthew manakala MATTA Johor diwakili Timbalan Pengerusi, Kathryn Lee Hwee Ching.
See berkata penerbangan antara Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor Bahru dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang terpaksa dihentikan tahun lepas akibat COVID-19.
Beliau berkata antara promosi yang dijalankan pada peringkat awal ialah pelancong akan mendapat tawaran istimewa apabila mereka menggunakan perkhimatan ejen pelancongan yang berdaftar dengan MATTA Johor dan MATTA Pulau Pinang.
"Pakej tawaran itu merangkumi tambang penerbangan, penginapan hotel dan sarapan pada harga RM599 untuk dua orang dan ia sah sehingga 27 Julai, 2023 selain beberapa lagi tawaran turut disediakan oleh ejen pelancongan MATTA.
"Kita mengadakan MoU serta tawaran ini kerana yakin sektor pelancongan domestik kini semakin pulih dalam pascapandemik selain turut merancang mengadakan beberapa lagi kerjasama dengan pihak MATTA bagi mempromosikan pelancongan domestik," katanya.
See berkata selain perjalanan Pulau Pinang-Johor Bahru dengan menggunakan pesawat Boeing 737-800 mulai April lepas, pihaknya turut melancarkan destinasi lain seperti Langkawi, Kuching dan Kota Kinabalu dari Pulau Pinang.
Firefly juga dijangka melancarkan penerbangan ke Phuket, Thailand dari Pulau Pinang pada Ogos ini, katanya.
-- BERNAMA