Johor Tenggara miliki potensi besar dalam pelancongan, perindustrian - Ahmad Zahid
Bernama
Mac 12, 2023 17:24 MYT
Mac 12, 2023 17:24 MYT
KOTA TINGGI: Johor Tenggara mempunyai potensi besar untuk dimajukan terutama melibatkan sektor pelancongan dan perindustrian, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata bagi melaksanakan hasrat itu Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) perlu menggali potensi dengan mencari tapak baharu bagi kedua-dua sektor berkenaan, memandangkan keluasan wilayah tanggungjawabnya meliputi kira-kira 15 peratus daripada keluasan tanah di Johor.
Beliau berkata kerjasama pintar antara kerajaan negeri dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menerusi Kejora seperti program perbengkelan atau pemukiman perlu diadakan.
"Saya mencadangkan (program) perbengkelan atau pemukiman dilakukan antara KKDW, Kejora bersama kerajaan negeri, agar kita dapat memulakan tapak baharu bagi menggali potensi yang ada.
"(Melibatkan) kawasan pertanggungjawaban yang boleh kita sama-sama majukan demi kepentingan kerajaan negeri dan pusat...masih terlalu awal untuk kita umumkan (lokasi khusus), oleh itu perbengkelan atau pemukiman perlu dilakukan," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Kejora di Ibu Pejabat Kejora, Bandar Penawar di sini pada Ahad.
Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, Setiausaha Kerajaan negeri Tan Sri Azmi Rohani, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) yang juga Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said serta Pengurus Besar Kejora Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus.
Ahmad Zahid berkata beliau teruja dengan pencapaian Kejora yang telah memasuki usia penubuhan 50 tahun.
Beliau berkata KKDW dengan Kejora serta barisan kepimpinan kerajaan negeri juga mempunyai keserasian dan sentiasa bekerjasama dalam memajukan kawasan di Johor Tenggara.
"Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar amat mahu melihat kawasan-kawasan yang masih 'terkebelakang' dari segi pembangunan dan kemajuan ini dimajukan dan insya-Allah Kejora akan lakukannya.
"Terima kasih juga diucapkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen yang terlibat serta kerajaan negeri khususnya Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan negeri yang mempunyai keserasian dengan Kejora dan kerajaan Pusat untuk majukan Johor Tenggara ini, kerana pada hemat saya beberapa insitiatif baharu harus dikemukakan," katanya.
Kejora ditubuhkan pada 1 Jun, 1972 mengikut Akta Lembaga Kemajuan Johor Tenggara 1972 (Akta 75) dan Enakmen Negeri (Enakmen Lembaga Kemajuan Johor Tenggara 1972) yang memberi fungsi dan kuasa-kuasa tertentu untuk membangunkan Wilayah Johor Tenggara.
Wilayah Kejora terletak di dua daerah iaitu Kota Tinggi dan Kluang meliputi kawasan seluas 333,364 hektar.
-- BERNAMA