Johor teliti sukatan pelajaran, mata pelajaran di IPT selari kehendak pasaran

Bernama
Julai 13, 2024 04:45 MYT
Aznan berkata, didapati ramai siswazah yang menamatkan pengajian di Johor berkhidmat di luar negara dan negeri terutamanya di Singapura dan Kuala Lumpur. - Gambar fail/BERNAMA
BATU PAHAT: Kerajaan Johor akan meneliti sukatan pelajaran dan mata pelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT) di bawah negeri itu supaya selari dengan kehendak pasaran sekali gus meningkatkan kebolehpasaran dalam kalangan siswazah.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri Aznan Tamin berkata hal ini kerana terdapat beberapa kursus yang ditawarkan termasuk bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tidak selari selain tidak menepati keperluan pasaran.
Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan negeri berhasrat mewujudkan Majlis Pembangunan Bakat Negeri Johor (JTDC) bagi mengatasi isu kehilangan 'bakat' di negeri itu susulan penghijrahan siswazah ke negeri lain untuk mencari pekerjaan.
"Kewujudan JTDC ini bertujuan memastikan kerjasama antara sektor pendidikan dan industri dapat dilakukan bagi melahirkan graduan yang memenuhi kehendak pasaran dalam industri pekerjaan.
"Kita tidak mahu graduan terlepas mendapatkan pekerjaan kerana sukatan pelajaran dan modul pembelajaran tidak sama dengan keperluan industri di Johor," katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Kita MADANI Negeri Johor di Dataran Parit Sulong di sini pada Sabtu.
Aznan berkata berdasarkan rekod didapati ramai siswazah yang menamatkan pengajian di negeri itu berkhidmat di luar negara dan negeri terutamanya di Singapura dan Kuala Lumpur.
Berhubung Karnival Kita MADANI anjuran Jabatan Penerangan negeri, beliau berharap program itu dapat diteruskan dengan memberi penekanan terhadap pendedahan ilmu dan perpaduan.
"Pada masa sama, kita mahu program ini mengembalikan kegemilangan tayangan 'wayang pacak' yang cukup sinonim dengan Jabatan Penerangan suatu ketika dahulu agar didedahkan kembali kepada golongan muda.
"Bagaimanapun, wayang pacak ini perlu selari dengan teknologi terkini, selain disesuaikan dengan jenis tayangan yang mampu menarik minat golongan muda melalui skrin LED (diod pemancar cahaya) dan sebagainya," katanya.
-- BERNAMA
#IPT #kebolehpasaran siswazah #sukatan pelajaran #kehendak pasaran
;