Johor sasar lima juta pelancong asing tahun depan
Bernama
November 26, 2022 17:20 MYT
November 26, 2022 17:20 MYT
JOHOR BAHRU: Sektor pelancongan Johor dijangka terus berkembang dengan sasaran lima juta pelancong asing berkunjung ke negeri itu tahun depan, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri K. Raven Kumar.
Beliau berkata keyakinan itu berdasarkan rekod kemasukan pelancong asing di Johor sejak Januari hingga kini yang mencecah 2.8 juta berbanding sasaran asal 1.5 juta.
Katanya antara destinasi yang menjadi tumpuan pelancong asing adalah Desaru, Kota Tinggi dan Iskandar Puteri.
“Kebanyakan pelancong luar datang dari Singapura, India, Filipina dan China. Kita akan terus berusaha untuk tarik pelancong dan menggandakan jumlah itu tahun depan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di program Johor Speed Fest 2022 di R&F Marina, di sini hari ini.
Terdahulu Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan merasmikan Johor Yacht and Recreation Club dan Johor Speed Fest yang turut dihadiri Pengarah Tourism Johor Suhairi Hashim.
Sementara itu, Raven berharap Johor dan kerajaan Persekutuan terus menjalinkan kerjasama erat bagi merancakkan lagi industri pelancongan negara.
"Saya turut berharap supaya diberikan perhatian kepada Johor sebab ada dua pintu masuk antarabangsa iaitu Singapura dan Indonesia di negeri ini. Selain itu, saya juga mengharapkan Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) dikaji semula," katanya.
Program MM2H diperkenalkan pada 2002 yang membenarkan warga asing membeli hartanah dan tinggal di Malaysia untuk tempoh yang lama.
-- BERNAMA