Johor sambut baik pemberian 50 peratus hasil pelancongan kepada negeri
Bernama
November 4, 2018 05:20 MYT
November 4, 2018 05:20 MYT
Kerajaan Johor menyambut baik keputusan kerajaan persekutuan memberikan 50 peratus hasil diperolehi daripada sektor pelancongan kepada kerajaan negeri seperti diumumkan dalam Belanjawan 2019, Jumaat lalu.
Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata langkah itu akan menggalakkan usaha kerajaan Johor untuk meningkatkan hasil pendapatan melalui sektor pelancongan di negeri ini.
"Saya yakin belanjawan kali ini akan mampu merangsang pertumbuhan ekonomi dan memberi faedah kepada rakyat berdasarkan tiga fokus belanjawan iaitu melaksanakan reformasi institusi, memastikan kesejahteraan rakyat dan memupuk budaya keusahawanan.
"Walaupun kerajaan persekutuan sedang menghadapi masalah kewangan akibat perbelanjaan tidak berhemah dan penyelewengan kerajaan terdahulu, saya lihat pembentangan belanjawan ini tetap menjaga kepentingan rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.
Osman dalam pada itu turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan pusat yang turut mengumumkan pemansuhan tol motosikal di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LinKedua) bermula 1 Jan depan.
"Pengumuman ini sekali gus mengurangkan kesulitan dan beban kos sara hidup yang dihadapi oleh rakyat Malaysia terutama rakyat Johor yang berulang alik setiap hari ke Singapura," katanya.
Beliau dalam masa sama berkata belanjawan Johor tahun depan yang akan dibentangkan pada 29 Nov ini akan mengambil langkah sama untuk memastikan ekonomi negeri stabil serta menjadikan kebajikan rakyat sebagai keutamaan.
--BERNAMA
#50 peratus hasil
#Belanjawan 2019
#Belanjawan Johor
#cukai pelancongan
#Johor
#kesejahteraan rakyat
#LINKEDUA
#mansuh
#merancak ekonomi
#Osman Sapian
#pelancongan
#pendapatan rendah
#tol
#tol motosikal