Johor rancang manfaatkan tanah terbiar untuk pertanian

Bernama
Mac 4, 2024 05:45 MYT
Zahari berkata sebagai permulaan usaha itu, pihaknya bekerjasama dengan LPNM, UiTM Cawangan Johor dan PPNNJ. - Foto BERNAMA
SEGAMAT: Kerajaan Johor merancang untuk memanfaatkan tanah terbiar milik kerajaan ataupun persendirian di negeri itu agar ia dapat digunakan untuk tujuan pertanian, sekali gus dapat menambah hasil pertanian.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Johor Datuk Zahari Sarip berkata sebagai permulaan usaha itu, pihaknya bekerjasama dengan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Johor dan Persatuan Pengusaha Nanas Negeri Johor (PPNNJ).
Katanya melalui kerjasama yang dilakukan ini, ahli PPNNJ akan menggunakan tanah milik UiTM di Segamat seluas 20 ekar untuk tanaman nanas jenis MD2, di samping LPNM akan memberikan bantuan asas serta bimbingan kepada peserta program berkenaan.
"Sekiranya projek rintis ini berjaya membuahkan hasil yang baik, kita akan teruskan dengan berusaha mendapatkan kebenaran daripada pemilik tanah terbiar yang lain seperti di institut pengajian tinggi, sekolah, pusat latihan polis, kem tentera dan sebagainya.
"Di Segamat ini kita mempunyai tanah milik kerajaan yang terbiar kira-kira 200 ekar (80.93 hektar) tidak dapat dilakukan pembangunan atau diusahakan kerana berdepan risiko banjir dan kini ia dalam peringkat kajian untuk projek tersebut (tanaman yang sesuai)," katanya kepada pemberita selepas Lawatan Kerja ke Projek Pembangunan Tanaman Nanas Daerah Segamat di UiTM Johor Cawangan Segamat di sini pada Isnin.
Hadir sama dalam lawatan berkenaan adalah Pengerusi LPNM Sheikh 'Umar Bagharib Ali dan Rektor UiTM Johor Prof Madya Dr Saunah Zainon.
Menurut Zahari melalui program yang akan digerakkan oleh Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan dan Jabatan Veterinar itu, ia turut melibatkan golongan B40 sebagai peserta bagi membantu mereka menambah pendapatan masing-masing.
Sementara itu, berkenaan hasil berkaitan tanaman nanas, Sheikh 'Umar berkata pihak LPNM kini sedang giat untuk memaksimumkan hasil keluaran produk daripada tanaman itu selain daripada makanan.
Katanya, kajian terkini menunjukkan tanaman nanas di negara ini kini mempunyai tiga hasil tuaian yang boleh dimanfaatkan iaitu buah, sulur atau benih serta sisa daripada tanaman berkenaan.
"Kita di LPNM kini giat untuk menghasilkan produk daripada nanas terutama melibatkan sisa tanaman, antara barangan berkaitan kesihatan, kosmetik, benang, kain, kertas dan barangan cenderamata," katanya menambah penanam nanas juga digalakkan merancang tanaman agar produk dapat dikeluarkan setiap bulan.
-- BERNAMA
#golongan B40 #hasil pertanian #PPNNJ #tanah terbiar
;