Johor rancang bina lapangan terbang di Mersing

Bernama
Februari 14, 2017 07:06 MYT
KHALED: Kedatangan pelancong ke kawasan Mersing dijangka bertambah rancak pada masa depan. - Gambar fail
Kedatangan pelancong ke kawasan Mersing yang terletak kira-kira 130 km dari pusat bandar Johor Bahru dijangka bertambah rancak pada masa depan.
Ini berikutan rancangan kerajaan negeri untuk membina sebuah lapangan terbang di daerah terbabit bagi meningkatkan jaringan hubungan di antara Mersing dengan kawasan di sekitarnya.
Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata perancangan terbabit telah diusulkan kepada kerajaan pusat untuk dipertimbangkan.
"Memang kita (kerajaan negeri) ada minta (Mersing dibina lapangan terbang) dan setakat ini, Kementerian Pengangkutan sedang membuat kajian.
"Selain itu, kita juga mempunyai perancangan untuk membina sebuah lagi lapangan terbang di daerah Pontian tetapi itu hanyalah perancangan jangka panjang dan ia cuma sudah dibincangkan di peringkat negeri," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Tahun Baharu Cina MCA Johor 2017 di sini pada Selasa.
Turut hadir Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai serta Timbalan Presidennya Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
Sementara itu, Liow yang diminta mengulas perkara berkenaan berkata, "Sekarang ini kita mempunyai dua pilihan sama ada akan membinanya di Pulau Tioman (Pahang) atau di Mersing kerana kita hendak sektor pelancongan di kedua-dua tempat itu bertambah rancak," katanya.
Dalam perkembangan berlainan, Liow berkata pihaknya memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan Mohamed Khaled untuk terus membawa arus perubahan di negeri ini, baik dari segi ekonomi, politik dan sebagainya.
"Sejak beliau mengambil alih pentadbiran, telah banyak perancangan dan program telah dilaksanakan sehingga Johor mempunyai pertumbuhan ekonomi yang pesat," katanya.
-- BERNAMA
#Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin #Liow Tiong Lai #MCA #Mersing
;