Johor pertimbang pasang CCTV di surau dan masjid
Bernama
Januari 17, 2024 15:00 MYT
Januari 17, 2024 15:00 MYT
BATU PAHAT: Kerajaan Negeri Johor akan mempertimbang cadangan memasang kamera litar tertutup (CCTV) di surau dan masjid termasuk di kawasan luar bandar untuk tujuan keselamatan.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor Mohd Fared Mohd Khalid berkata cadangan itu adalah satu langkah yang baik namun memerlukan persetujuan semua pihak memandangkan ia memerlukan peruntukan tertentu.
Beliau berkata kebanyakan masjid dan surau terutama di kawasan luar bandar masih tidak mempunyai kemudahan itu namun pada masa sama, pihaknya menggalakkan orang ramai membuat rondaan secara sukarela terlebih dahulu.
"Peruntukan perlu dicari dan sekiranya dipersetujui, mestilah disegerakan bagi mengekang perbuatan yang boleh mendatangkan kerosakan," katanya kepada Bernama.
Terdahulu, Mohd Fareed melawat Masjid Jamek Kampung Parit Simis serta Surau Ar Raudah Kampung Parit Bangas di Sri Medan dekat sini yang terbakar pada 14 dan 15 Jan lepas dipercayai akibat perbuatan khianat individu tidak bertanggungjawab.
Sementara itu, polis tidak menolak kemungkinan terdapat unsur khianat dalam insiden kebakaran kedua-dua premis.
Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata kejadian itu juga dipercayai dilakukan oleh individu sama berdasarkan siasatan awal pihaknya.
"Kes masjid dan surau terbakar ini masih masih dalam siasatan dan dipercayai ada unsur pencerobohan dan khianat dengan api.
"Kejadian kedua-dua kes hampir sama dan kemungkinan melibatkan orang yang sama juga. Jadi kita buka kertas siasatan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor hari ini.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Ismail Dollah pula berkata siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA