Johor perlu perjuang Perjanjian Air 1962 - Tun Mahathir
Wan Syamsul Amly
Februari 28, 2019 18:12 MYT
Februari 28, 2019 18:12 MYT
Kerajaan Johor perlu memperjuangkan hak negeri itu dalam isu Perjanjian Air 1962 kepada Singapura.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, isu penjualan air kepada negara jiran itu sejak 1962 juga perlu dikaji semula.
Jelasnya, caj tiga sen untuk 1,000 gelen air mentah dilihat tidak lagi munasabah kini.
"Ini perlu diperjuangkan, negara yang kaya ini (Singapura) beli air dari negara miskin dengan harga tidak berpatutan. Kalau kita cekap kita beritahu semua ini bayaran tidak adil dan munasabah. Mereka tumbuh pesat sebab kita bekal air kepada mereka," katanya semasa berucap pada sesi pemukiman kerajaan Negeri Johor bersama kepimpinan Kerajaan Persekutuan di sini, pada Khamis.
Singapura bergantung kepada Malaysia untuk membekalkan hampir separuh keperluan airnya dan sudah melalui beberapa siri perjanjian bermula pada tahun 1927.
Ia diikuti dengan Perjanjian Sungai Johor pada 1962 yang akan berakhir pada tahun 206, memberikan negara itu 250 juta gelen air mentah sehari pada harga 3 sen bagi setiap 1,000 gelen dan Malaysia membeli semula air yang dirawat pada harga 50 sen setiap 1,000 gelen.
Pada 1990, Singapura, Malaysia dan kerajaan negeri Johor memeterai perjanjian baharu, membolehkan Singapura membina empangan di Sungai Linggiu (cabang Sungai Johor) bagi memproses sendiri air, dan menaikkan kapasiti pengeluaran air mereka.
Sebagai ganti Singapura membayar pampasan RM320 juta kepada Malaysia dan Kerajaan Johor, sebagai nilai tapak empangan didirikan.
Timbal balas kepada perjanjian itu, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) diberi kontrak membekal gas asli dari Terengganu ke Singapura.
Dalam pada itu kata Dr Mahathir, Johor juga perlu mencari kelebihan untuk meraih kemajuan lebih besar di negeri itu.
Jelasnya, ia termasuk sektor perladangan kelapa sawit dan meningkatkan kedudukan strategik perlabuhan negeri itu bagi tujuan perdagangan
Dr Mahathir berkata Johor mempunyai potensi yang besar untuk dibangunkan dan menjadi negeri kedua terkaya di negara ini selepas Selangor, berikutan kedudukan negeri Johor yang berdekatan dengan Singapura.
#air
#Johor
#kerajaan
#Mahathir Mohamad
#Malaysia
#Perdana Menteri
#perjanjian air
#Petronas
#Singapura