Johor negeri terbaharu fatwakan GISB sesat, menyeleweng

Bernama
November 25, 2024 18:54 MYT
Keputusan dicapai setelah mendapati gerakan GISB sememangnya bercanggah dengan ajaran dan menyeleweng daripada akidah Islam. - Gambar fail/REUTERS
BATU PAHAT: Johor menjadi negeri terbaharu memfatwakan ajaran, pegangan dan fahaman GISB Holdings Sdn Bhd (GISB) sebagai sesat selaras ketetapan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

Ringkasan AI
  • Fatwa Pengharaman GISB: Johor telah memfatwakan ajaran GISB Holdings Sdn Bhd sebagai sesat, selaras dengan ketetapan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).
  • Penguatkuasaan dan Pemantauan: Keputusan pengharaman ini sedang dalam proses pewartaan untuk membolehkan penguatkuasaan, dengan kerjasama MCMC dan Jakim untuk memantau penyebaran ajaran ini dalam talian.
  • Fatwa Ajaran Qadiani: Fatwa pengharaman ajaran Qadiani yang dikeluarkan pada 1960-an masih berkuat kuasa, dan kerajaan negeri akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu yang terlibat dengan fahaman ini.

Mufti Johor Datuk Yahya Ahmad berkata keputusan ini dicapai setelah mendapati gerakan GISB sememangnya bercanggah dengan ajaran dan menyeleweng daripada akidah Islam.
Beliau berkata keputusan pengharaman itu sudah dipersembahkan kepada Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail dan kini dalam peringkat pewartaan sekali gus membolehkan proses penguatkuasaan dapat dilakukan dalam masa terdekat.
"Masyarakat perlu diberi penerangan supaya tidak terlibat ajaran ini dan kita adakan kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi memantau ajaran ini yang dikhuatiri disebarkan dalam talian," katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Pendidikan Fatwa Negeri Johor di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), di sini hari ini.
Sementara itu, Yahya memberikan peringatan fatwa pengharaman ajaran Qadiani yang dikeluarkan pada 1960-an masih berkuat kuasa, berikutan adanya cubaan menghidupkan semula ajaran itu baru-baru ini dan kerajaan negeri akan memastikan kedua-dua fahaman berkenaan dibendung daripada terus berkembang.
"Ajaran Qadiani yang diasaskan Mirza Ghulam Ahmad dari India adalah menyeleweng dan bercanggah dengan ajaran Islam...ditetapkan melalui fatwa terhadap ajaran ini, orang Islam dalam negeri Johor yang mempercayai atau mengikutinya boleh menyebabkan terkeluar daripada Islam.
"Selepas ini, mana-mana mereka yang terbabit dengan fahaman ini kita akan ambil tindakan berdasarkan peruntukan undang-undang," katanya.
-- BERNAMA
#GISB #Mufti Johor #ajaran sesat #Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan #terkini
;