Johor negeri pertama miliki majlis pembangunan bakat melalui penubuhan JTDC - TPM
Bernama
November 3, 2024 21:30 MYT
November 3, 2024 21:30 MYT
JOHOR BAHRU: Johor menjadi negeri pertama di Malaysia memiliki majlis pembangunan bakatnya sendiri melalui penubuhan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) yang dilancarkan hari ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Ringkasan AI
- Johor melancarkan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC), menjadikannya negeri pertama di Malaysia dengan majlis pembangunan bakat sendiri.
- JTDC akan memperkasa pendidikan teknikal, latihan vokasional (TVET), dan menawarkan gaji premium, terutama di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
- Karnival Kerjaya selama tiga hari dianjurkan dengan 15,000 peluang pekerjaan, bagi memenuhi permintaan industri berkemahiran tinggi di Johor.
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata inisiatif kerajaan negeri membangunkan JTDC adalah usaha yang tepat dalam membangunkan ekosistem tenaga kerja mahir di Johor.
Beliau berkata JTDC akan terus memperkasa ekosistem pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) serta menyediakan peluang kerjaya berkemahiran tinggi sekali gus merealisasikan pelaksanaan gaji premium di negeri itu khususnya di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
"Kita melihat bahawa peluang pekerjaan yang ada di Johor hadapi persaingan... gaji minimum di Malaysia RM1,700 manakala di Singapura 1,500 dolar iaitu bersamaan dengan RM5,290.
"Maka apa yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Johor ialah menetapkan gaji premium bagi diploma bermula dengan RM4,000 manakala bagi ijazah RM5,000... saya mesti mengakui tidak ada negeri lain yang melakukannya setakat ini, (hanya) Johor yang lakukan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan JTDC dan Karnival Kerjaya di sebuah pusat konvensyen di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.
Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Jawatankuasa TVET Negara, berkata terdapat 100,000 peluang kerja di Johor ketika ini dengan 74,000 daripadanya adalah di JS-SEZ yang memerlukan pekerja berkemahiran tinggi dan daripada jumlah itu, hanya 52,000 telah diisi.
Onn Hafiz pula berkata JTDC akan menyelaras semula segala kursus pendidikan dan latihan di Johor agar selari dengan keperluan industri selain memperluas kerjasama dengan pihak industri dan institusi pengajian tinggi (IPT) dalam penyelidikan, penyediaan kelengkapan serta perkongsian kepakaran.
Beliau berkata JTDC juga berperanan memperbanyak skim penempatan kerjaya dan latihan industri secara terus serta berharap IPT di Johor akan menawarkan kursus pengajian yang dipacu oleh permintaan berbanding penawaran.
Karnival kerjaya tiga hari itu, yang bermula Jumaat lepas dan dianjurkan oleh Kementerian Sumber Manusia menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Johor, menawarkan 15,000 peluang pekerjaan.
-- BERNAMA