Johor nafi cuti peristiwa Sukma

Siti Nur Aqilla Omar
September 27, 2022 16:14 MYT
Negeri Johor menjuarai Sukan Malaysia (Sukma) 2022 yang dianjurkan baru-baru ini. - Gambar fail
JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor menafikan akan memberikan cuti peristiwa pada Khamis ini berikutan kejayaan kontinjen Johor menjuarai Sukan Malaysia (Sukma) 2022 baru-baru ini.
Unit Korporat dan Kualiti Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor dalam satu kenyataannya memaklumkan, kenyataan cuti peristiwa yang tular di media sosial sejak kelmarin itu adalah palsu.
"Telah tular satu kenyataan melalui aplikasi WhatsApp menyatakan Kerajaan Johor akan memberikan cuti peristiwa pada 29 September atau Khamis ini atas kejayaan Kontinjen Johor menjuarai Sukma baru-baru ini.
"Pentadbiran ini menafikan sekeras-kerasnya kenyataan yang dikeluarkan dan telah tular itu.
"Pentadbiran ini juga kesal atas tindakan pihak tidak bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan palsu sehingga menyebabkan kekeliruan kepada orang awam," kata kenyataan itu.
Sejak kelmarin, tular di media sosial kononnya kerajaan Johor akan mengumumkan cuti peristiwa susulan kejayaan kontinjen negeri itu menjuarai Sukma dengan meraih 77 pingat emas keseluruhannya.
#cuti umum #Johor #SUKMA #Johor juara Sukma
;