Johor minta kerajaan Pusat teruskan inisiatif laluan hijau dengan Singapura

Astro Awani
Januari 31, 2021 16:50 MYT
Singapura menggantung perjalanan RGL yang bermakna pengembara negara yang mempunyai kebenaran sebelum ini tidak boleh lagi memasuki republik berkenaan. - Gambar fail/ Bernama
JOHOR BAHRU: Johor mencadangkan agar inisiatif laluan hijau timbal balik (RGL) membabitkan Malaysia dengan Singapura diteruskan walaupun republik itu menggantung kebenaran rentas sempadan dari negara ini.
Menteri Besarnya, Datuk Hasni Mohammad, berkata ia bagi membolehkan perkembangan ekonomi termasuk industri dan pelaburan di Johor terus berlangsung ketika menghadapi pandemik COVID-19.
Katanya cadangan itu telah dikemukakan kepada kerajaan Pusat dan beliau dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, perkara itu akan dibawa ke mesyuarat Kabinet pada Rabu ini.
"Dengan adanya persefahaman RGL ia akan dapat bantu industri dan pelaburan negara jiran yang mempunyai kepentingan di Johor. Maka kita harap agar kerajaan Persekutuan akan benarkan industri, pihak-pihak yang lain yang guna RGL ini supaya dapat diteruskan.
"Walaupun Singapura gantung RGL untuk bendung penularan COVID-19, saya percaya (di pihak Malaysia) kita tidak perlukan sebarang pindaan (jika ingin teruskan). Atas sebab tu johor cadangkan supaya kemudahan RGL dapat diteruskan," katanya.
BACA: Laluan hijau: Singapura gantung kebenaran rentas sempadan Malaysia dan dua negara lain
Beliau berkata demikian semasa sidang media secara maya bersama pengamal media berkaitan RGL.
Jelas Hasni, Singapura menggantung perjalanan RGL yang bermakna pengembara negara yang mempunyai kebenaran sebelum ini tidak boleh lagi memasuki republik berkenaan.
Bagaimanapun, katanya sekiranya Malaysia meneruskannya, pihak yang mempunyai kebenaran itu dari Singapura masih boleh memasuki Malaysia untuk meneruskan aktiviti perlaburan dan sebagainya.
[SIDANG MEDIA] Menteri Besar Johor berkenaan RGL
Inisiatif RGL dilaksanakan kedua-dua negara pada 10 Ogos tahun lalu yang membolehkan perjalanan rentas sempadan bagi pengembara yang mahu menjalankan urusan perniagaan atau tujuan rasmi.
Bagaimanapun, kerajaan Singapura menggantung kebenaran rentas sempadan secara bersyarat di bawah RGL itu dengan beberapa negara termasuk Malaysia berikutan peningkatan kes COVID-19 di seluruh dunia.
Dalam satu kenyataan pada Sabtu, Kementerian Luar Negeri Singapura berkata, larangan tersebut meliputi Malaysia, Jerman dan Korea Selatan selama tiga bulan bermula 1 Februari.
#Johor #Singapura #RGL #laluan hijau #rentas negara #sempadan #perlaburan #ekonomi #Menteri Besar #Hasni Mohammad
;