Johor mahu tarik kehadiran pelancong menerusi pelancongan sukan

Bernama
Julai 8, 2023 17:29 MYT
Mohd Hairi (dua, kanan) melepaskan para peserta LEtape Johor 2023, Desaru Coast bagi kategori Elit 140 kilometer, hari ini. Turut hadir Pegawai Daerah Kota Tinggi Datin Paduka Hazlina Jalil (kanan). -Bernama
KOTA TINGGI: Johor mahu menjadikan pelancongan sukan sebagai antara tarikan ke negeri itu dengan merangka penganjuran beberapa sukan bertaraf antarabangsa termasuk sukan berbasikal.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri Mohd Hairi Mad Shah berkata perancangan berkenaan akan dimulakan pada tahun depan dengan kerjasama Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ).
Beliau berkata buat permulaan, penganjuran Tour de Johor dan Johor Bike Festival dilihat mampu menarik pelancong dari dalam dan luar negara.
"Untuk tujuan itu, kita telah menghantar beberapa kertas kerja kepada Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi serta mengalu-alukan penganjur sukan termasuk peringkat antarabangsa yang mahu bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi menjayakan program pelancongan sukan di negeri ini.
"Selain penganjuran sukan, kerajaan negeri juga akan menitikberatkan limpahan ekonomi setempat, dengan pelancongan sukan ini akan melibatkan keseluruhan daerah di Johor," katanya kepada pemberita pada majlis makan malam sempena penganjuran acara L'Etape Johor 2023 di sini malam tadi.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri K. Raven Kumar dan Ketua Pegawai Eksekutif MUSE Group Asia Riduwan Matni.
Menurut Mohd Hairi pihaknya turut merancang menjadikan penganjuran L'Etape Johor sebagai acara tahunan supaya menjadi satu 'simbol' pelancongan sukan di Johor yang mampu menarik lebih ramai pengunjung.
"Kita juga akan mengadakan kerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk mempromosikan sukan pelancongan di Johor serta terus bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan," katanya.
Sementara itu, Penasihat Belia Johor Khairy Jamaluddin berkata beliau akan turut membantu kejayaan pelancongan sukan Johor dengan membabitkan golongan belia terutama belia di Johor.
"Sebagai contohnya, pada kejohanan L'Etape Johor 2023 ini saya sendiri akan menyertainya dan berharap ia akan berjalan dengan lancar serta menjadi satu acara atau kejohanan sukan yang dinanti-nantikan setiap tahun," katanya.
-- BERNAMA
#pelancongan sukan #sukan bertaraf antarabangsa #sukan berbasikal #Mohd Hairi Mad Shah
;