Johor lihat perkembangan RUU Antilompat Parti di Parlimen sebelum perkenal enakmen
Bernama
April 21, 2022 19:10 MYT
April 21, 2022 19:10 MYT
ISKANDAR PUTERI: Johor akan melihat perkembangan terkini berhubung Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti di peringkat Parlimen sebelum kerajaan negeri memperkenalkan Enakmen Antilompat Parti di peringkat negeri itu.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata ia bagi memastikan agar terdapat keselarian antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri.
"Saya lihat apa pun yang berlaku di peringkat Parlimen mesti akan ada kesan di peringkat negeri Johor. Contohnya, mereka sedang meneliti Perkara 10 (Perlembagaan Persekutuan). Kita kena bekerjasama dan tengok adakah perkara itu (perkembangan terbaharu) akan ada kesan kepada kita.
"Hubungan antara Putrajaya, Parlimen dan kita di negeri Johor mesti ada keselarian," katanya kepada pemberita di luar Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, di sini ketika ditanya sama ada terdapat 'isu' yang dihadapi untuk memperkenalkan enakmen tersebut di Johor.
Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap berkata dengan memperkenalkan enakmen tersebut kelak, ia adalah antara langkah kerajaan negeri dalam memperkasakan DUN Johor pada masa akan datang.
RUU Antilompat Parti yang sepatutnya dibentang di Dewan Rakyat pada 11 April lepas ditunda dan dijangka dibentang di Parlimen pada sesi sidang Dewan Rakyat, Julai ini.
Selain itu, kerajaan pusat juga akan mewujudkan jawatankuasa khas bagi memperincikan, menggubal dan meneliti pindaan RUU Anti Lompat Parti itu sebelum ia dibentangkan kepada Kabinet terlebih dahulu.
Sementara itu, Onn Hafiz berkata pihaknya turut mempertimbangkan penubuhan Jawatankuasa Pemilih yang sesuai dan akan mengadakan perbincangan dengan wakil-wakil rakyat termasuk Ketua Pembangkang tentang hala tuju DUN Johor demi kepentingan kebajikan rakyat Johor secara keseluruhan.
"Keduanya, yang mungkin kita boleh tengok ialah macam mana kita boleh libatkan anak muda, pemimpin-pemimpin anak muda yang di luar sana. Mungkin kita boleh melantik mereka sebagai ADUN lantikan seperti negeri-negeri lain yang pernah buat, jadi kita akan mempertimbangkan perkara tersebut," katanya.
-- BERNAMA
#Johor
#Menteri Besar
#RUU Antilompat Parti
#anti lompat parti
#onn hafiz ghazi
#Enakmen Antilompat Parti
#Parlimen