Johor kemuka cadangan atasi masalah menunggu lama di Jabatan Kecemasan HSI
Bernama
Mei 22, 2023 05:15 MYT
Mei 22, 2023 05:15 MYT
JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri akan mengemukakan beberapa cadangan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mengatasi masalah waktu menunggu yang lama di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Sultan Ismail (HSI), dekat sini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, antara yang dicadangkan adalah supaya KKM dapat memanjangkan masa operasi Klinik Kesihatan Sultan Ismail yang bersebelahan dengan HSI.
Beliau berkata ia bagi membolehkan sesetengah kes yang bukan kecemasan dapat dirawat di klinik berkenaan dan pesakit tidak perlu menunggu lama di HSI, di samping dapat meringankan beban Jabatan Kecemasan dan Trauma HSI.
"Antara cadangan lain adalah mengkaji semula penambahan staf bertugas kerana sekarang ini bagi satu syif, mempunyai kira-kira tujuh hingga sembilan doktor, dan perlu dipecahkan kepada zon merah, kuning, hijau, asma dan triage.
"Jika keadaan di zon kuning dan merah menerima terlalu ramai pesakit, mereka tidak dapat bertugas di zon hijau dan menyebabkan masa menunggu yang panjang," katanya melalui satu hantaran di Facebook.
Terdahulu, Ling mengadakan lawatan mengejut di HSI pukul 12 tengah malam Ahad susulan banyak aduan diterima bahawa pesakit perlu menunggu lama bagi mendapatkan rawatan di jabatan kecemasan hospital terbabit.
Beliau berkata berdasarkan pemerhatiannya, keadaan jabatan itu sememangnya sangat sibuk dan kemasukan pesakit bagi mendapatkan rawatan kelihatan tidak berhenti.
"Selepas menemu bual beberapa pesakit dan waris, saya dapati ada antara mereka telah menunggu lebih daripada dua jam sebelum mendapatkan rawatan.
"Saya juga telah berbincang dengan doktor yang bertugas, dan turut mencadangkan supaya jabatan kecemasan menukar kerusi yang rosak dan menambah kerusi di zon hijau agar pesakit dan waris dapat menunggu dengan lebih selesa," katanya. - BERNAMA