Johor jadikan HDB Singapura sebagai penanda aras pembangunan perumahan mampu milik
Bernama
April 19, 2022 04:48 MYT
April 19, 2022 04:48 MYT
JOHOR BAHRU: Johor melalui Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ) akan menjadikan pelaksanaan konsep pembangunan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) Singapura sebagai antara penanda aras dalam perancangan perumahan mampu milik yang komprehensif di setiap daerah di negeri itu.
Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata bagi tujuan itu, PKPJ perlu melakukan tindakan drastik dengan memiliki pangkalan data perancangan pembangunan perumahan terperinci dan berfokus bersama agensi lain seperti pihak berkuasa tempatan, Kementerian Kewangan, Perbadanan PR1MA Malaysia, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) serta pihak bank.
Beliau berkata PKPJ juga berperanan memastikan perancangan pembangunan dilaksana mengikut jadual serta garis masa yang ditetapkan supaya penyediaan rumah mampu milik dapat disediakan dan memenuhi permintaan tempatan.
"Insya-Allah dengan jentera pentadbiran yang dibentuk bersama kekuatan PKPJ dan koordinasi bersama jabatan lain, hasrat serta iltizam ini akan berjaya direalisasikan," katanya dalam hantaran di laman Facebook pada Selasa.
Menerusi catatan itu, Onn Hafiz telah berkunjung ke HDB Singapura yang berjaya membina kira-kira 1.2 juta unit rumah mampu milik sejak penubuhannya pada 1960.
Beliau melakukan lawatan kerja empat hari ke Singapura bermula Sabtu lepas dalam usaha mengeratkan hubungan antara Johor dan republik itu.
-- BERNAMA