Johor hasrat jadi hab pelancongan sukan

Bernama
Mei 10, 2023 06:15 MYT
Mohd Hairi Mad Shah berkata kejohanan itu termasuklah L'Etape Johor By Tour De France yang memasuki tahun kedua penganjurannya dengan sasaran 6,000 peserta dari dalam dan luar negara tahun ini. - Foto Facebook/Mohd Hairi Mad Shah
ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri berhasrat untuk menjadikan Johor sebagai hab pelancongan sukan terutamanya selepas menjadi destinasi penganjuran beberapa kejohanan sukan bertaraf antarabangsa.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor Mohd Hairi Mad Shah berkata kejohanan itu termasuklah L'Etape Johor By Tour De France yang memasuki tahun kedua penganjurannya dengan sasaran 6,000 peserta dari dalam dan luar negara tahun ini.
"Penganjuran L'Etape Johor ini akan memartabatkan Johor sebagai hab pelancongan sukan, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga Asia Tenggara kerana lokasinya strategik dan berdekatan dengan Singapura dan Indonesia.
"Menerusi penganjuran L'Etape, kita mahu peserta bukan sahaja datang ke sini untuk berbasikal, tetapi juga merasai budaya kita," katanya ketika melancarkan L'Etape Johor, di Velodrom Johor, di sini pada Rabu.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan) Datuk On Jabbar dan Pengarah Tourism Johor Suhairi Hashim.
L'Etape Johor ialah acara berbasikal beramai-ramai tahunan yang membolehkan penunggang basikal amatur untuk berlumba di laluan yang sama seperti peringkat Tour de France.
Kejohanan itu yang dijadual berlangsung pada 8 Julai ini akan melibatkan laluan perlumbaan sejauh 60 kilometer (km) dan 140km dengan menampilkan lima kategori antaranya individu, berpasukan dan elit.
Sementara itu, Suhairi berkata Johor bersedia untuk menjadi hab pelancongan sukan negara kerana mempunyai pelbagai kelengkapan dan kemudahan sukan selain mendapat pelbagai tawaran penganjuran kejohanan bertaraf antarabangsa.
"Dalam teras pelancongan, setakat ini kita memang cuba menumpukan bidang sukan. Kalau kita lihat selain permotoran, berbasikal dan sebagainya menjadi perhatian terutama di Johor.
Kita akan dapat penyertaan yang terlalu ramai terutama dari negara luar... di Johor memang (kita) sedia maklum banyak fasiliti sukan yang menyokong industri ini," katanya.
-- BERNAMA
#Johor #hab pelancongan sukan #Mohd Hairi Mad Shah #kejohanan sukan
;