Johor hargai komitmen polis selamatkan Albertine Leo - Onn Hafiz

Astro Awani
Julai 25, 2024 11:19 MYT
Onn Hafiz mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar di Pusat Temuduga Kanak-Kanak di Gelang Patah, Iskandar Puteri pada Khamis. - Sumber foto FB Onn Hafiz
KUALA LUMPUR: Kanak-kanak perempuan Albertine Leo Jia Hui yang dilaporkan hilang selepas dipercayai diculik di Eco Galleria, Iskandar Puteri pada Sabtu lalu, kini berada dalam keadaan baik.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menzahirkan penghargaan usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencari dan menyelamatkan Albertine.
"Polis sedang membuat siasatan dalam kes ini. Namun, suka saya maklumkan bahawa adik Albertine Leo berada dalam keadaan baik dan selamat di dalam pangkuan tersayang," katanya dalam satu pautan di Facebook rasmi beliau pada Khamis.
Onn Hafiz turut mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar di Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC) di Gelang Patah, Iskandar Puteri.
"Terima kasih Polis Diraja Malaysia (PDRM). Bagi menghargai usaha PDRM mencari dan menyelamatkan adik Albertine Leo, saya telah berjumpa Ketua Polis Johor secara peribadi bagi menyatakan penghargaan.
"Dedikasi dan komitmen tanpa henti PDRM adalah lambang keikhlasan mereka dalam menjaga keamanan dan keselamatan negeri kita.
"Saya yakin dengan semangat dan kecekapan yang dipamerkan oleh mereka, negara ini pasti akan terus aman dan sejahtera. Semoga usaha dan pengorbanan mereka akan sentiasa diberkati dan disanjung tinggi oleh seluruh rakyat Malaysia," katanya.
Albertine, 6, disedari hilang oleh bapanya kira-kira jam 8.30 malam, Sabtu lalu di sebuah pusat perniagaan di Iskandar Puteri.
Kanak-kanak itu kemudian ditemui dalam keadaan selamat di sebuah hotel murah dekat Batang Kali, Selangor, jam 4.45 pagi pada Selasa.
#onn hafiz ghazi #Albertine Leo #Polis Diraja Malaysia #Eco Galleria Iskandar Puteri