Johor harap projek HSA2 disenarai dalam Belanjawan 2024
Bernama
September 29, 2023 04:20 MYT
September 29, 2023 04:20 MYT
JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor berharap projek pembinaan Hospital Sultanah Aminah 2 (HSA2) di sini diberi perhatian oleh Kerajaan Persekutuan dalam Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan pada 13 Okt ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, HSA2 merupakan antara projek yang difokus kerajaan negeri bagi mengatasi kesesakan di dua hospital sedia ada di bandar raya ini iaitu HSA dan Hospital Sultan Ismail (HSI).
Beliau berkata, Kementerian Pertahanan (MINDEF) telah bersetuju untuk memberi tanah berkeluasan 28.32 hektar kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk membangunkan hospital baharu itu.
"Keseluruhan tanah MINDEF di Skudai itu berkeluasan 202.34 hektar tapi kita tak pakai semua dan pihak MINDEF bersetuju untuk memberi 28.32 hektar untuk kegunaan HSA2. Bulan lepas, pihak KKM dan juga saya telah melawat tapak tersebut.
"Menteri Besar (Datuk Onn Hafiz Ghazi) juga telah memaklumkan bahawa HSA2 adalah satu projek yang menjadi fokus kerajaan negeri dan kita berharap supaya projek ini tersenarai dalam Belanjawan 2024," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Wellness Month Peringkat Johor 2023 di Wellness Hub HSA, di sini, pada Jumaat.
Mengulas mengenai pembinaan parkir bertingkat di HSA, Ling berharap projek itu dapat dilaksanakan segera bagi mengatasi masalah kesesakan yang berlaku setiap hari di hospital berkenaan.
"Sebelum ini, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah umumkan peruntukan RM500 juta untuk menaik taraf perkhidmatan di HSA termasuk pembinaan parkir bertingkat. Jadi saya harap pembinaan ini dapat disegerakan," katanya.
Berhubung pembinaan Hospital Pasir Gudang di sini yang dijadual siap pada tahun depan, beliau berkata ia berjalan dengan lancar dan mendahului jadual pembinaannya. - BERNAMA