Johor harap lawatan PM ke Singapura pada Mei bawa 'berita positif'
Bernama
April 19, 2021 17:26 MYT
April 19, 2021 17:26 MYT
JOHOR BAHRU: Johor mengharapkan 'berita positif' menerusi pertemuan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan rakan sejawatnya dari Singapura Lee Hsien Loong, yang dijangka akan membincangkan mengenai pembukaan semula sempadan yang dijadualkan pada awal bulan hadapan.
Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, hal ini kerana pembukaan sempadan merupakan agenda berterusan kerajaan negeri, dan pihaknya akan memastikan mereka yang terlibat dalam rentas sempadan itu seperti pekerja, menerima vaksin COVID-19.
"Oleh sebab itu, kita juga akan mempersembahkan kepada kerajaan persekutuan prosedur operasi standard (SOP) rentas sempadan. Ia termasuk pergerakan terhad, walau mereka boleh rentas sempadan, tidak bermakna mereka boleh bergerak di seluruh Singapura.
"Kalau mereka bekerja, maksudnya mereka perlu bergerak dari tempat A dan tempat B, jadi akan ada mekanisme yang boleh dibangunkan untuk kita kawal," katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas menghadiri 'Kickstart' Program Mekar: Modul Kesedaran Jenayah Kanak-Kanak dan Remaja, kolaborasi antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dan Naib Canselor UTM Prof Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail.
Beliau berkata demikian, ketika diminta mengulas tentang tahap keyakinan kerajaan negeri dalam pembukaan semula sempadan ke republik itu, memandangkan kes COVID-19 dilihat meningkat.
Pada 12 April lepas, Menteri Luar Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata pembukaan sempadan antara dua negara itu dijangka menjadi agenda perbincangan, menerusi pertemuan antara Muhyiddin dan Lee pada awal bulan depan.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai isu dadah Hasni berkata, berdasarkan statistik terkini daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), daerah Mersing mencatatkan tertinggi kes dadah melibatkan golongan belia dan remaja di negeri ini.
Katanya, situasi itu membimbangkan dan usaha untuk menangani isu berkenaan harus dilakukan.
"Bagi peringkat nasional, (ikut ratio penduduk) dalam 100,000 penduduk kira-kira 450 orang didapati terlibat penyalahgunaan dadah, tetapi di Mersing merekodkan kira-kira 1,050 orang (bagi 100,000).
"Kita perlu lakukan sesuatu, bukan sahaja dari pandangan pendidikan, tetapi juga faktor lain yang mempengaruh penyalahgunaan dadah dan penggunaan dalam kalangan generasi muda di Mersing," katanya.
Sementara itu Ayob Khan berkata, kebanyakan mereka yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah di Mersing adalah golongan nelayan.
"Kebanyakan dadah digunakan adalah syabu dan methamphetamine, untuk nelayan mungkin mereka guna untuk kekuatan kerana lama berada di laut. Kebimbangan kita adalah ia libat remaja, contoh mungkin terpengaruh daripada ibu bapa, jadi anak turut sama ikut," katanya.
Beliau berkata pihaknya sentiasa melakukan operasi bagi membanteras isu berkenaan, dan dalam masa sama menjelaskan betapa pentingnya Modul Mekar yang dibangunkan bersama-sama UTM, diharapkan dapat membantu memberikan kesedaran kepada pelajar mengenai bahaya penggunaan dadah dan terlibat dalam kes jenayah.
-- BERNAMA
#Johor
#Singapura
#Perdana Menteri
#Muhyiddin Yassin
#Lee Hsien Loong
#pembukaan sempadan
#COVID-19
#rentas negara
#berita positif