Johor harap keputusan positif isu Pulau Batu Puteh
Shahrul Hassan
Februari 4, 2017 18:07 MYT
Februari 4, 2017 18:07 MYT
Johor berharap kerajaan memperoleh keputusan positif bagi permohonan semula semakan terhadap penghakiman Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berkaitan kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, johor menyokong penuh usaha tersebut memandangkan isu terbabit penting bagi negeri itu.
“Saya sudah sebut bahawa kita mengalu-alukan lebih-lebih lagi apabila saya baca dalam akhbar pihak peguam negara mengatakan apabila kerajaan British mengumumkan penemuan beberapa dokumen dan perkara-perkara baru yang boleh mengukuhkan tuntutan Malaysia terhadap Pulau Batu Puteh.
“Jadi kita tunggulah dan kita menyokonglah usaha yang dilakukan oleh pihak Peguam Negara,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pasar Muafakat Sabah di Bandar Seri Alam, Johor.
Jelasnya, kerajaan negeri mengalu-alukan perkembangan terkini khususnya berhubung usaha Malaysia mengemukakan permohonan semakan semula terhadap penghakiman ICJ.
Semalam, Ketua Peguam Negara, Mohamed Apandi Ali berkata, Malaysia memfailkan permohonan itu di ICJ, The Hague Belanda selepas meneliti beberapa fakta, antaranya ketika keputusan dibuat, ia tidak diketahui oleh mahkamah serta malaysia sebagai negara yang menuntut semakan.
Beliau menjelaskan permohonan Malaysia untuk semakan penghakiman ialah kesinambungan proses yang dimulakan pada 9 Mei 2003 oleh Malaysia dan Singapura, apabila kedua-dua negara bersetuju untuk merujuk pertikaian berhubung kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan kepada ICJ.
Mohamed Apandi berkata, penemuan fakta-fakta baru adalah penting dan ia harus dibincang serta mengemukakan penghuraian sewajarnya di mahkamah.
Pada 23 Mei, 2008, ICJ memutuskan Singapura mempunyai kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh sementara Batuan Tengah adalah milik Malaysia manakala Tubir Selatan menjadi milik negara di perairan mana pulau itu terletak.
Pulau Batu Puteh terletak 7.7 batu nautika dari Pantai Tanjung Penyusuh di Johor.