Johor, Sabah dilanda banjir, 14 PPS dibuka

Bernama
Mac 20, 2025 09:20 MYT
Tiga daerah di Johor dilanda banjir susulan hujan lebat berterusan sejak semalam, iaitu Johor Bahru, Kulai dan Pontian. - Foto Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Johor
JOHOR BAHRU: Sepuluh pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka setakat 8 pagi ini, selepas tiga daerah di Johor dilanda banjir susulan hujan lebat berterusan sejak semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata terdapat 893 mangsa daripada 257 keluarga yang terjejas dan telah dipindahkan ke PPS.
"Tiga daerah terbabit adalah Johor Bahru yang mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 567 orang, diikuti Kulai (269) dan Pontian (57).
"Tiga sungai dilaporkan melebihi paras bahaya iaitu stesen Sungai Siam di Kampung Sungai Siam dengan bacaan 20.85 meter (m), Sungai Skudai di Kampung Laut (4.24 m) dan Parit Keliling di Kampung Pasir 1.01 m," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata keadaan cuaca di sepuluh daerah di Johor diramalkan hujan pagi ini.
Sementara itu di SABAH, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam kenyataan empat PPS dibuka pagi ini susulan banjir yang melanda Sandakan dan Beluran.
Di Sandakan, dua PPS dibuka di Masjid Nur Iman dan Masjid Nur Hidayah manakala di Beluran pula, PPS dibuka di Dewan Kampung Sungai Nangka dan Dewan Kampung Balaban.
"Setakat 8 pagi ini, pemindahan penduduk terjejas banjir ke PPS sedang dilakukan dan jumlah yang dipindahkan akan dikemas kini," menurut kenyataan itu.
Ketika ini, Sandakan dan Beluran yang terletak di pantai timur Sabah mengalami hujan renyai.
-- BERNAMA
#banjir #hujan lebat #PPS #banjir johor #banjir sabah
;