Johor digesa nyata pendirian isu Batu Puteh

Bernama
Jun 2, 2018 09:33 MYT
MOHAMED KHALED: Ini adalah isu kedaulatan dan bukannya perkara remeh, ia adalah perkara yang tidak boleh digalang ganti. - Gambar fail
UMNO Johor menggesa kerajaan negeri memberikan penjelasan dan menyatakan pendirian berhubung keputusan kerajaan persekutuan menimbang semula untuk mencabar keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) terhadap kedaulatan Pulau Batu Puteh (Pedra Branca).
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata biar apa pun keputusan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Johor seharusnya mempunyai ketegasan dan menyatakan pendiriannya tersendiri berhubung perkara itu.
"Pihak Menteri Besar Johor hanya membisu dan tidak sedikit pun bersuara menyatakan pendirian kerajaan negeri, sama ada bersetuju atau tidak dengan keputusan tersebut. Tindakan sedemikian amat mendukacitakan.
"Kerajaan negeri seharusnya peka, aktif dan tegas menyatakan pendirian berhubung perkara tersebut terutamanya Pedra Branca terletak berhampiran dengan Johor. Sudah pastilah kedaulatan dan pemilikannya akan memberi kesan yang besar kepada persempadanan dan aktiviti laut di perairan Johor," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor berkata kerajaan negeri tidak boleh sekadar bersikap acuh tidak acuh dan memilih untuk tidak mengambil peduli perkara yang besar dan penting itu.
BACA: Pulau Batu Puteh: Singapura dimaklumkan Malaysia tidak teruskan prosiding
BACA: 'Lebih baik tarik balik kes Batu Puteh' - Pakar
Bekas Menteri Besar Johor itu berkata atas dasar itulah, UMNO Johor berpendirian bahawa Kerajaan Persekutuan seharusnya meneruskan kes dan prosiding mencabar keputusan ICJ serta tidak menghentikannya.
Mohamed Khaled berkata keputusan Kerajaan Persekutuan itu bukan sahaja tidak disertakan dengan justifikasi atau alasan kukuh, malah ia diputuskan ketika Peguam Negara (AG) sedang bercuti.
"Biarpun AG barangkali sudah memberikan nasihat dan pandangan, namun keputusan yang dibuat ketika AG bercuti boleh menimbulkan kontroversi serta kelihatan tidak teratur.
"Lebih penting, keputusan ini secara tidak langsung memberikan mesej moral yang tidak baik kepada kita selaku rakyat. Ia menggambarkan yang kita telah berputus asa untuk berjuang berhabis-habisan dalam menuntut hak kita.
"Ini bukanlah contoh keputusan yang baik. Kerajaan pastinya diharapkan oleh rakyat untuk terus mencuba sedaya upaya menuntut perkara yang menjadi hak dan kedaulatan kita," katanya.
BACA: Singapura tidak akan biarkan isu Pulau Batu Puteh jejas hubungan dengan Malaysia
Mohamed Khaled berkata Pedra Branca sentiasa dilihat sebagai sebahagian daripada Johor dan ia seharusnya kekal sebagai sebahagian daripada Johor dan Malaysia.
Beliau menegaskan keputusan tidak meneruskan prosiding itu seolah-olah Kerajaan Persekutuan melepaskan kedaulatan negara kepada Singapura dengan mudah tanpa mempertahankannya sehabis daya dan usaha.
"Ini adalah isu kedaulatan dan bukannya perkara remeh. Ia adalah perkara yang tidak boleh digalang ganti. Jadi, ia mesti dipertahan dan diperjuangkan dengan setegas-tegasnya.
"Lebih-lebih lagi, ekoran wujudnya bukti dan keterangan baharu yang boleh dikemukakan sebelum ini, pihak AG sendiri yakin bahawa kita masih mempunyai kes yang boleh dibawa serta dipertahankan dalam isu ini. Peluang tersebut seharusnya kita gunakan dengan sehabis baik," katanya.
-- BERNAMA
#Barisan Nasional #Johor #kerajaan negeri #kerajaan Persekutuan #Mohamed Khaled Nordin #Pedra Branca #Peguam Negara #Pulau Batu Puteh #Singapura #UMNO
;