Johor dapatkan bantuan tentera, tangani gangguan bekalan air di Pasir Gudang
Bernama
Oktober 31, 2022 18:28 MYT
Oktober 31, 2022 18:28 MYT
PASIR GUDANG: Kerajaan Negeri Johor akan mendapatkan bantuan tangki air tambahan daripada Kementerian Pertahanan (Mindef) bagi mengatasi masalah paip pecah yang menyebabkan gangguan bekalan air di sini, sejak Jumaat lepas.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) juga sedang mengkoordinasi penghantaran tangki-tangki air ke kawasan perumahan penduduk.
"Untuk pelan jangka pendek, kita bersama Datuk Bandar MBPG Datuk Asman Shah Abd Rahman dan wakil rakyat sedang koordinasi supaya tangki-tangki air dihantar.
"Saya juga telah menghubungi pihak Mindef untuk menambah tangki mereka, kita juga berhubung dengan pihak bomba dan agensi lain, jadi koordinasi memang dibuat untuk penyelesaian jangka pendek bantu rumah-rumah terlibat," katanya pada sidang media selepas melawat lokasi paip pecah di Seri Alam, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Rangkaian Ranhill SAJ Khairul Effendy Tusam.
Sementara itu, Khairul Effendy berkata bekalan air bersih di kawasan terjejas termasuk di Zon Plentong, Zon Masai dan Tanjung Langsat dijangka pulih secara berperingkat mulai malam esok.
Beliau berkata pihaknya juga sedang giat memperbaiki paip yang pecah itu dengan keadaan yang mencabar ditambah cuaca hujan lebat malam tadi.
"Kita anggarkan paip siap dibaiki dalam esok petang, maknanya malam bekalan air akan pulih secara berperingkat dan paling lambat sekali mungkin akan ambil masa 12 jam selepas paip siap dibaiki, jadi kita minta semua bersabar dan doakan semua berjalan lancar," katanya.
Beliau berkata masalah paip pecah itu berlaku pada Khamis lepas ketika pihak kontraktor Pengurusan Aset Air Bhd yang melakukan pemasangan paip secara tidak sengaja melanggar paip sedia ada sekali gus menyebabkan 100,000 pengguna terjejas.
"Bila paip (pecah) ini ditutup, yang terkesan ialah 100,000 akaun pengguna, tetapi bila kita buat pengolahan sistem bekalan air, kita dapat kurangkan kepada 60,000 akaun pengguna yang terjejas," katanya.
-- BERNAMA