Johor catat sejarah, rekod terimaan lebihan RM2 bilion tahun ini - Onn Hafiz

Siti Nur Aqilla Omar
November 21, 2024 10:50 MYT
Onn Hafiz (tengah) menunjukkan Buku Belanjawan Johor 2025 pada Pembentangan Belanjawan Johor 2025 di Bangunan Sultan Ismail Kota Iskandar, Iskandar Puteri. - Foto Pejabat MB
ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor membentangkan unjuran Belanjawan Johor 2025 berjumlah RM1.999 bilion.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata unjuran itu menunjukkan peningkatan sebanyak RM201 juta atau 11 peratus berbanding unjuran tahun 2024.
Katanya Johor mencatat sejarah apabila diunjurkan bakal menerima hasil RM2.005 bilion tahun ini, pertama kalinya negeri merekodkan hasil melebihi RM2 bilion.
"Angka-angka ini menunjukkan bahawa Belanjawan Johor 2025 merupakan Belanjawan Surplus dengan sebanyak RM5.12 juta.
"Sejumlah RM1.271 bilion diperuntukkan bagi tujuan Belanja Mengurus manakala sejumlah RM728 juta pula diperuntukkan bagi tujuan Belanja Pembangunan.
"Syukur Alhamdulillah berkat usaha semua pihak, buat pertama kalinya dalam sejarah, Johor akan merekodkan terimaan hasil melebihi RM2 bilion bagi tahun 2024," katanya semasa berucap pada pembentangan belanjawan Johor 2025 bagi penggal persidangan ketiga di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini, hari ini.
Dengan bertemakan “Maju Johor, Rakyat Sejahtera”,Belanjawan Johor 2025 digubal dengan prinsip segala perancangan dan pelaksanaan adalah demi kebajikan dan kesejahteraan Bangsa Johor.
Menurut Onn Hafiz, Johor kini sedang berada di persimpangan penting dengan pelbagai potensi yang memungkinkan negeri ini mencatat lembaran sejarah baharu.
Katanya, Johor kini sedang meniti dan melalui satu era yang penuh dengan ruang dan peluang yang bakal merubah landskap ekonomi negeri dan kehidupan rakyat pada skala yang tidak pernah disaksikan.
"Syukur Alhamdulillah, dalam tempoh 2 tahun, Johor telah menarik pelaburan berjumlah RM113.7 bilion, menghasilkan lebih 35,000 peluang pekerjaan baharu.
"Pada bulan September yang lalu, Kerajaan Persekutuan telah melancarkan Pakej Insentif bagi Zon Kewangan Khas (SFZ) yang berpangkalan di Forest City.
"Menjelang hujung tahun ini pula, Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Singapura akan menandatangani perjanjian bagi pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ). Dengan pelaksanaan Zon Ekonomi Khas tersebut, dijangka lebih 100,000 peluang pekerjaan akan dijana," katanya.
Ekonomi Johor terus menunjukkan prestasi yang memberangsangkan dengan pertumbuhan ekonomi yang mencatatkan perkembangan sebanyak 4.1 peratus pada tahun 2023.
Angka ini melepasi paras pertumbuhan nasional 3.6 peratus dengan nilai KDNK berjumlah RM148.2 bilion pada tahun 2023 berbanding RM142.4 bilion pada tahun 2022.
Prestasi ekonomi Johor yang memberangsangkan ini juga dibuktikan dengan peningkatan jumlah import sebanyak 16 peratus kepada RM290 bilion berbanding tahun lepas, peningkatan import dan eksport berjumlah RM561.6 bilion membawa Johor untuk muncul sebagai penyumbang kedua terbesar perdagangan negara.
Selain sektor pembinaan terus merekodkan pertumbuhan memberangsangkan dengan nilai berjumlah RM17.1 bilion berbanding RM10.8 bilion pada tempoh yang sama tahun lepas dan kadar pengangguran terus kekal pada kadar yang rendah iaitu 2.3 peratus pada suku ketiga tahun ini.
#Johor #lebihan #Belanjawan 2025 #onn hafiz ghazi
;