Johor catat 5,234 kes HFMD setakat 4 Jun

Bernama
Jun 6, 2022 10:45 MYT
Rakyat di Johor diseru supaya sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan yang diperlukan bagi mencegah penyakit itu. - Gambar hiasan/Unsplash
JOHOR BAHRU: Sebanyak 5,234 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) direkodkan di Johor setakat 4 Jun lepas, meningkat 50 kali ganda daripada 104 kes yang dicatat dalam tempoh sama, tahun lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri Ling Tian Soon berkata daripada jumlah itu, sebanyak 4,594 kes melibatkan kanak-kanak berumur sehingga enam tahun, manakala tujuh hingga 12 tahun adalah 564 kes dan selebihnya merupakan mereka yang berumur lebih 13 tahun.
"Sebanyak 41 wabak HFMD dikesan di taska, diikuti rumah persendirian (18), tabika (13), tadika (lapan), prasekolah (tujuh), sekolah rendah (tiga), pusat jagaan harian (dua) dan lain-lain (tiga)," katanya menerusi kenyataan, di sini hari ini.
Beliau berkata sebanyak 25 wabak aktif HFMD dilaporkan dengan Johor Bahru merupakan daerah tertinggi iaitu 11 wabak, diikuti Kluang (tujuh), Kota Tinggi (lima), manakala Muar dan Tangkak masing-masing satu wabak.
Justeru itu Ling menyeru rakyat di Johor supaya sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan yang diperlukan bagi mencegah penyakit itu.
"Dalam masa cuti sekolah ini, ibu bapa sila menggunakan peluang ini bagi mendidik anak-anak anda supaya memberi lebih perhatian terhadap kebersihan kendiri dan persekitaran.
"Bagi pengusaha institusi pendidikan pula, mereka disarankan agar membuat kerja-kerja sanitasi dan pembersihan di kawasan premis," katanya.
-- BERNAMA
#HFMD #Kanak-kanak #Johor #kesihatan