Johor beri rebat cukai tanah 15 peratus bermula Oktober
Bernama
September 28, 2020 05:18 MYT
September 28, 2020 05:18 MYT
JOHOR BAHRU: Bermula 1 Oktober, semua pemilik hartanah di negeri Johor akan menikmati pemberian rebat cukai tanah 15 peratus bagi tahun 2020, kata Menteri Besar Datuk Ir Hasni Mohammad.
Katanya selain itu, rebat cukai 10 peratus akan diberikan pada 2021 dan lima peratus pada 2022, seperti yang telah diumumkan dalam penggulungan Rundingan Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Johor 2020, pada Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Yang Ke-14, 13 September lalu.
"Tempoh bayaran cukai tanah telah dilanjutkan hingga 14 Disember ini, manakala denda lewat cukai tanah semasa akan dikenakan bermula 15 Disember.
"Bagi pemilik hartanah yang tidak menjelaskan cukai tanah semasa tahun 2020 bermula 15 Disember, cukai tanah tersebut akan dikira sebagai tunggakan dan denda lewat akan dikenakan mulai tarikh tersebut," katanya dalam satu kenyataan, di sini, pada Isnin.
Hasni turut menjelaskan pemberian rebat 15 peratus tersebut tidak akan diberikan kepada pembayar cukai tanah yang menjelaskan cukai tanah selepas 14 Disember, manakala mereka yang telah menjelaskan bayaran cukai pada tahun 2020, lebihan bayaran akan dikreditkan ke tahun berikutnya.
"Ini bermakna pada tahun 2021, rebat yang diterima adalah sebanyak 25 peratus.
"Bagi menikmati pemberian rebat pada tahun 2021 dan 2022, semua pemilik tanah perlu menjelaskan cukai tanah tahun berkenaan sebelum atau selewat-lewatnya pada 31 Mei," katanya.
-- BERNAMA
#Hasni Mohammad
#rebat cukai
#cukai tanah
#pakej rangsangan ekonomi
#ihsan johor
#Johor
#Rundingan Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Johor 2020
#Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Yang Ke-14