Johor bantu SPRM siasat kes rasuah hartanah - Khaled
Bernama
Mac 2, 2017 20:37 MYT
Mac 2, 2017 20:37 MYT
Kerajaan negeri Johor akan memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan kes penyelewangan dalam urusan hartanah dan perumahan di negeri ini, baru-baru ini.
Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pihaknya memandang serius kes itu yang membabitkan enam individu termasuk anak dan seorang pegawai khas kepada seorang Exco kerajaan negeri serta membekukan 45 akaun bank bernilai RM15.5 juta.
"Adalah menjadi komitmen kerajaan negeri untuk memastikan tidak ada campur tangan daripada mana-mana pihak berhubung kes tersebut. Ini bagi memastikan ketelusan dan kelancaran terhadap siasatan yang dijalankan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata semua jabatan serta agensi kerajaan negeri akan memberikan kerjasama penuh kepada SPRM supaya siasatan mengenai penyelewengan itu dapat dilakukan dengan adil.
Mohamed Khaled berkata tindakan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Abd Latif Bandi, yang memohon bercuti daripada perkhidmatan sehingga siasatan kes itu selesai, juga amat bersesuaian bagi membolehkan siasatan itu berjalan lancar dan bebas serta membuktikan sikap kerajaan negeri yang berpegang teguh kepada amalan integriti dan ketelusan.
Pada Jumaat lepas, SPRM menahan kesemua suspek itu di negeri ini kerana disyaki bersubahat dalam pengurangan premium tanah yang diluluskan untuk projek-projek perumahan dan perindustrian serta penukaran status premis-premis di Johor.
SPRM juga merampas 21 kereta mewah, lima motosikal berkuasa tinggi, wang tunai kira-kira RM500,000 termasuk matawang asing dan dokumen-dokumen bagi membantu siasatan.
Mohamed Khaled berkata kerajaan negeri juga akan mengumumkan tidak lama lagi mengenai usaha yang bakal diambil untuk memperkemas prosedur dan tadbir urus berhubung urusan hartanah dan perumahan bagi mengelak kemungkinan berlaku ketirisan dan penyalahgunaan kuasa.
"Kerajaan negeri akan memperkemas prosedur dan tadbir urus setelah meneliti dan mengambil kira perkembangan mutakhir berhubung isu penyelewengan dalam urusan hartanah serta perumahan di negeri ini," katanya.
Berikutan kes itu, katanya kerajaan negeri mendapati adanya kekeliruan pemahaman mengenai isu penukaran atau pelepasan status rumah-rumah Bumiputera kepada status awam atau bukan Bumiputera.
Mohamed Khaled menjelaskan pelepasan status Bumiputera adalah dasar yang dibenarkan oleh kerajaan negeri namun, ia tidak sama sekali melibatkan rumah kos rendah dan mampu milik seperti yang didakwa sesetengah pihak.
"Pelepasan itu hanya dibenarkan untuk rumah-rumah mewah dan tidak dibenarkan bagi kategori Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) atau Rumah Kos Rendah.
"Permohonan ini lazimnya dibuat oleh pemaju perumahan untuk mengelakkan kerugian yang besar dan menjadi beban kepada komitmen pembiayaan projek pembangunan mereka," katanya.
Menurutnya sejak 2013, pemaju yang membuat permohonan pelepasan status Bumiputera itu juga dikenakan syarat tambahan iaitu perlu menyumbang kepada Tabung Perumahan Bumiputera iaitu sumber pendapatan bagi menjayakan lebih banyak projek perumahan golongan itu di negeri ini.
"Sumbangan yang diperolehi sejak 2013 adalah kira-kira RM600 juta. Dana ini seterusnya digunakan oleh kerajaan negeri melalui Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC) seperti PIJ Holding dan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) sebagai sumber dana dan perbelanjaan," katanya.
Perbelanjaan itu antaranya adalah untuk mengenal pasti dan membeli tanah-tanah yang bersesuaian bagi membina rumah mampu milik di seluruh Johor, membina lebih banyak rumah kos rendah dan rumah mampu milik untuk rakyat Johor seperti yang ditawarkan dalam RMMJ serta membina gerai-gerai atau pusat berniaga mampu milik untuk golongan Bumiputera.
-- BERNAMA