Johor alu-alukan pelabur bina fasiliti kesihatan, perubatan di JS-SEZ

Bernama
Januari 13, 2025 10:20 MYT
Ling berucap pada majlis Jamuan Silaturahim Tahun Baharu Cina di Che Eng Khor Moral Uplifting Society di Batu Pahat malam tadi. - Foto Facebook ADUN Parit Yaani Najib Samuri
BATU PAHAT: Kerajaan negeri mengalu-alukan pemain industri kesihatan dan perubatan antarabangsa melabur di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sekali gus menjadikan sektor itu antara penyumbang utama ekonomi Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor Ling Tian Soon berkata setakat ini terdapat beberapa pihak menunjukkan minat dalam pembinaan fasiliti kesihatan termasuk hospital dan farmasi.
Beliau berkata dengan adanya pelabur luar dalam industri itu menjadikan negeri ini, khususnya kawasan di zon JS-SEZ sebagai tumpuan dan membantu lokasi berkenaan berperanan sebagai pelancongan perubatan atau lawatan perubatan.
"Sebelum ini, saya bersama Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri Lee Ting Han telah ke beberapa negara seperti China, Korea Selatan, Jepun, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar untuk tujuan itu.
"Mereka (pelabur) yakin dengan potensi JS-SEZ ini dan pada masa sama berhasrat melabur di zon berkenaan," katanya kepada pemberita selepas Jamuan Silaturahim Tahun Baharu Cina di Che Eng Khor Moral Uplifting Society di sini malam tadi, yang turut dihadiri Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Jelas Ling lagi, bidang perubatan antara perkara yang termasuk dalam perjanjian JS-SEZ dan kerajaan negeri tidak mahu melepaskan peluang keemasan itu.
Beliau berkata walaupun bakal dibina hospital swasta daripada pelabur luar namun kerajaan negeri dan Persekutuan tidak mahu ketinggalan untuk membina fasiliti kesihatan milik kerajaan di zon berkenaan.
"Dua hospital baharu akan dibina dalam waktu terdekat di kawasan JS-SEZ, iaitu Hospital Pasir Gudang dan Hospital Sultanah Aminah 2 dengan dilengkapi kemudahan terkini bagi memberikan perkhidmatan kepada pesakit," katanya.
Sementara itu, Onn Hafiz dalam ucapannya memberitahu tahun ini permulaan era kemajuan pesat untuk Johor setelah termeterainya perjanjian JS-SEZ dengan kemasukan pelaburan berimpak tinggi daripada pelbagai bidang.
Pada 7 Jan lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari Singapura Lawrence Wong menyaksikan pertukaran perjanjian bersama antara Malaysia dan Singapura berkaitan JS-SEZ bersama enam lagi memorandum persefahaman dan satu surat hasrat.
-- BERNAMA
#Ling Tian Soon #ekonomi johor #onn hafiz ghazi #JS-SEZ
;