Johor akan perkenal sistem pendidikan agama moden - MB
Astro Awani
Julai 14, 2017 14:50 MYT
Julai 14, 2017 14:50 MYT
Kerajaan Negeri Johor akan memperkenalkan sistem pendidikan agama moden yang bersifat lebih komprehensif dan seimbang, menurut Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini.
Katanya, sistem pendidikan interaktif yang menggunakan aplikasi digital itu melibatkan tiga fasa dengan kos keseluruhan sebanyak RM14 juta.
Pada masa kini, dua buah sekolah sedang menjalani proses percubaan sebelum ia diperluas ke semua 600 buah sekolah agama di negeri ini pada tahun depan.
Dua sekolah berkenaan, Sekolah Menengah Agama Kerajaan Johor (Maahad) dan Sekolah Agama Bandar di Johor Bahru, menggunakan peranti tablet dengan lebih meluas.
“Pengisiannya seperti, (belajar) cara mengambil wuduk melalui i-pad, aplikasi. Begitu juga dengan yang lain-lain seperti pembangunan konten, pengaplikasian konten dan sebagainya.
"Ia supaya menarik minat, supaya sekolah agama juga selari dengan sekolah-sekolah sedia ada,” katanya pada satu sidang media ketika merasmikan lima Sekolah Agama Johor di Sekolah Agama Parit Bingan Ayer Hitam, di sini.
Sementara itu, Mohamed Khalid berkata, kerajaan negeri juga akan mengumumkan beberapa langkah berterusan untuk memantapkan pendidikan agama di Johor.
Dalam perkembangan lain, beliau melahirkan rasa puas hati terhadap Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd (KPRJ) kerana berjaya membina dan membaik pulih kesemua 77 buah sekolah agama kerajaan di negeri itu dengan kos RM167.9 juta, menerusi fasa 1 hingga 4, yang terbengkalai sejak 2013.
Manakala, bagi fasa kelima, sebanyak 30 buah sekolah agama kerajaan Johor akan dibina dengan peruntukan sebanyak RM85.5 juta.
Jelasnya, kejayaan itu merupakan pencapaian yang membanggakan bagi negeri Johor.