Johor akan paten motif tumbuhan gambir dan lada hitam sebagai hak eksklusif
Siti Nur Aqilla Omar
Disember 4, 2022 15:23 MYT
Disember 4, 2022 15:23 MYT
JOHOR BAHRU: Johor akan mempatenkan motif tumbuhan gambir dan lada hitam (pepper plant) yang diabadikan dalam beberapa lambang Diraja Johor dan Jata, sebagai hak eksklusif negeri itu.
Dalam hantaran terbaharu di laman sosial Facebook The Royal Johor, Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli berkata, langkah itu sebagai usaha untuk mengiktiraf serta mengekalkan peranannya dalam kemajuan ekonomi dan pembangunan Johor.
"Paten itu akan diserapkan di dalam Enakmen Lambang, Gelaran dan Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Johor 2017 bagi memastikan tiada pihak menyalahgunakan motif berkenaan.
"Gambir dan lada adalah sinonim dengan perkembangan sosio-ekonomi awal Johor," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran buku Perkembangan Penanaman Gambir Di Johor terbitan Persekutuan Tiong-Hua Johor Bahru hari ini.
Buku itu yang diterbitkan di dalam bahasa Melayu dan Cina itu mengisahkan pengenalan dua komoditi berkenaan di Johor sejak pemerintahan Temenggong Daing Ibrahim pada 1885.
Buku terbabit turut menulis peranan penting yang dimainkan oleh masyarakat Cina dalam meletakkan Johor sebagai peneraju dunia dalam pengeluaran gambir dan lada hitam.
Dalam majlis itu, Abdul Rahim turut memberi penghormatan kepada usaha pemimpin masyarakat Cina di zaman awal seperti Mejar Cina Datuk Tan Hiok Nee dan Kapitan Cina Seah Thye Heng yang memainkan peranan utama dalam meningkatkan ekonomi Johor melalui penanaman gambir dan lada hitam secara meluas.
Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pu Sze di Skudai, turut melancarkan tapak semaian tumbuhan di mana, murid-murid menanam kedua-dua pokok tersebut dan mempelajari bagaimana gambir dan lada berkait rapat dengan pertumbuhan dan kemajuan Johor sejak dahulu lagi.