Johor akan menumpukan isu tangani kemiskinan, mobiliti sosial - Hasni

Bernama
November 9, 2021 03:57 MYT
Hasni berkata penutupan sempadan Johor dan Singapura telah memberi kesan kepada perniagaan dan sumber pendapatan rakyat Malaysia dan Singapura. -Gambar fail/BERNAMA
JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri Johor menyasarkan untuk memberi tumpuan terhadap usahanya menangani isu kemiskinan dan mobiliti sosial akibat pandemik COVID-19 sementara menunggu pembukaan semula perjalanan rentas sempadan dengan Singapura, kata Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad.
Hasni berkata meskipun Laluan Perjalanan Vaksinasi di antara Lapangan Terbang Changi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur adalah permulaan yang cemerlang untuk memulakan pembukaan semula tambak dan Link Kedua bagi tujuan rentas sempadan, pandemik itu telah menyebabkan banyak isi rumah jatuh sehingga di bawah paras kemiskinan atau mengalami kemerosotan pendapatan.
"Banyak isi rumah yang mudah terjejas terhadap kejutan ekonomi pasca pandemik walaupun pembukaan semula sektor ekonomi dan pergerakan yang melibatkan orang ramai telah dilaksanakan dengan berhati-hati," katanya dalam ucap tama pada Program Pemimpin dalam Pentadbiran (LAP) ke-13 yang dianjurkan secara maya oleh Institut Kepimpinan Sektor Awam, Kolej Perkhidmatan Awam Singapura di sini, pada Selasa.
Hasni berkata penutupan sempadan Johor dan Singapura telah memberi kesan kepada perniagaan dan sumber pendapatan rakyat Malaysia dan Singapura.
"Penutupan rentas sempadan yang paling sibuk di dunia menjejaskan ekonomi dan mendatangkan keburukan sosial kepada semua yang terlibat.
"Keluarga terpaksa berpisah dengan orang yang tersayang dan ekonomi terpaksa berada dalam keadaan lembap tanpa adanya kepastian," katanya.
Hasni berkata jalan yang begitu sibuk di pusat bandar Johor Bahru suatu masa dahulu kini menjadi lokasi yang sunyi tanpa aktiviti komersial atau hanya mempunyai aktiviti komersial yang minimum.
"Peniaga kecil merasa tersepit, pekerja dalam sektor peruncitan dan hospitaliti diberhentikan kerja, kadang-kadang diberikan pampasan yang minimum.
"Inilah realiti kehidupan daripada kelembapan ekonomi disebabkan penutupan sempadan," katanya.
Hasni menegaskan pandemik COVID-19 akan meninggalkan kesan yang kekal terhadap struktur sosioekonomi negara.
"Malaysia dan Johor turut tidak terkecuali. Bagaimanapun, saya yakin, seperti krisis-krisis yang lain, kita mampu untuk segera pulih dan mengubah cabaran sedia ada dalam bentuk peluang yang bernilai," katanya.
Mengenai masa depan pasca pandemik, beliau yakin Johor akan memperkukuh hubungan pelbagai aspeknya dengan Singapura membabitkan pelbagai sektor.
"Langkah ke hadapan untuk pemulihan pasca pandemik yang mampan adalah kerjasama lebih baik dan lebih kukuh dengan pelbagai badan, sama ada kerajaan, separa kerajaan, atau sektor swasta yang berpangkalan di Singapura," kata Hasni.
Ini terbukti melalui penubuhan Pejabat Ekonomi, Pelancongan dan Kebudayaan Johor (JETCO) di Singapura yang akan beroperasi menjelang suku kedua tahun depan atau lebih awal daripada itu.
"Saya menjangka JETCO akan menjadi pusat sehenti untuk pertukaran dan dialog yang konstruktif dalam hal-hal ekonomi, pelancongan, dan kebudayaan antara Johor dan Singapura.
"Apabila sempadan kita dibuka semula, dan saya yakin ia tidak lama lagi, saya berhasrat melawat JETCO dan mungkin merasmikannya terlebih dahulu berbanding banyak lagi keterlibatan dengan rakan strategik Johor di Singapura.
"Secara jujur saya berpendapat peluang terbesar yang dibawakan oleh pandemik COVID-19 ini adalah menggunakan hubungan dinamik Johor dan Singapura dengan lebih baik," katanya.
-- BERNAMA
#Malaysia #Singapura #pembukaan semula sempadan #perjalanan rentas sempadan #Menteri Besar Johor #Hasni Mohammad
;