Johor akan bantu mudah cara selesai isu pemandu lori - Exco

Bernama
Oktober 23, 2023 20:20 MYT
Mohamad Fazli berkata beberapa siri pertemuan dengan pihak terlibat perlu diadakan bagi mendapatkan penyelesaian terbaik secara menang-menang. - Gambar Bernama
ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor akan membantu memudah cara bagi menyelesaikan beberapa isu dibangkitkan pengusaha dan pemandu lori di negeri ini berhubung operasi penguatkuasaan yang dibuat oleh pihak berkuasa baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata beberapa siri pertemuan dengan pihak terlibat perlu diadakan bagi mendapatkan penyelesaian terbaik secara menang-menang.
"Isu ini melibatkan peringkat nasional, cuma persatuan ini ambil inisiatif untuk berjumpa pentadbiran di setiap negeri supaya hasrat mereka dapat diutarakan dan disokong kerajaan negeri.
"Ia (isu ini) turut melibatkan rakyat Johor jadi kita akan bantu, namun, kita masih perlu adakan beberapa perbincangan untuk mengemas kini dokumen memorandum sebelum diserahkan kepada agensi berkaitan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima memorandum yang diserahkan wakil pengusaha dan pemandu lori di negeri ini iaitu Pengerusi Penaja, Pemilik dan Pengusaha Kenderaan Perdagangan Negeri Johor Md Shari Md Saat.
Mohamad Fazli berkata isu penguatkuasaan yang dibangkitkan pihak tersebut termasuk soal berat dengan muatan, berat tanpa muatan dan saman jalan raya yang kebanyakannya memberi kesan kepada pengusaha serta pemandu lori kecil-kecilan berbanding syarikat logistik besar.
"Kita perlukan masa untuk perhalusi cadangan di dalam memorandum ini. Saya tidak mahu menjadi sekadar posmen sahaja sebaliknya kita perlu beri penambahbaikan. Saya percaya pasti ada jalan penyelesaian terbaik dalam menangani isu ini.
"Alhamdulillah, tiada sebarang mogok di negeri ini melibatkan pengusaha dan pemandu lori. Kita di Johor ada cara Johor iaitu melalui perbincangan dan pertemuan secara aman, tidak perlu protes atau demo dan sebagainya sebaliknya apa yang penting masalah dapat diselesaikan," katanya.
Terdahulu, perhimpunan aman yang diadakan di Kota Iskandar itu dihadiri ratusan pengusaha dan pemandu lori yang terkesan dengan isu tersebut.
Baru-baru ini, berlaku protes melibatkan ribuan pemandu lori di beberapa negeri, selain mereka turut menghantar memorandum kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri.
Tindakan itu dibuat sebagai bantahan terhadap operasi bersepadu dijalankan JPJ dan Polis Diraja Malaysia yang didakwa menyebabkan pengusaha serta pemandu lori hilang punca pendapatan.
-- BERNAMA
#syarikat logistik #operasi bersepadu #pemandu lori #Perhimpunan Aman
;