Johari, Puan Maharani bincang perkukuh kerjasama antara Parlimen ASEAN
Bernama
Oktober 2, 2023 22:07 MYT
Oktober 2, 2023 22:07 MYT
KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dan Ketua Dewan Perwakilan Rakyat Republik Indonesia (DPR RI) Puan Maharani Nakshatra Kusyala Devi hari ini membincangkan usaha memperkukuh hubungan serta kerjasama antara Parlimen ASEAN.
Dalam mesyuarat dua hala selama 45 minit di Bangunan Parlimen di sini itu, kedua-dua wakil negara turut membincangkan isu perpindahan ibu negara Indonesia, keterjaminan makanan, perubahan iklim dan tenaga boleh baharu.
Johari berkata Malaysia amat menyokong keputusan Indonesia memindahkan ibu negaranya dari Jakarta ke Nusantara kerana ia mampu memperkukuhkan hubungan dan ekonomi kedua-dua negara.
"Ini akan memperkukuhkan hubungan Malaysia dan Indonesia dalam pelbagai bidang seperti komersial, pelancongan, pendidikan dan keterjaminan makanan. Bagi saya, ini akan membawa kita ke era baharu apabila kota ini dibangunkan dengan kaedah tenaga boleh baharu.
"Selain itu, pertukaran ahli akademik, penyelidik dan pemikir dari universiti di Indonesia dan Malaysia boleh memperkukuhkan bidang pendidikan dalam usaha membantu menyelesaikan masalah sekuriti makanan yang sedang melanda dunia," katanya di sini.
Sementara itu, menurut Johari menjelang 'Abad Asia' ini, Parlimen Malaysia bertekad untuk meningkatkan inisiatif dalam menangani isu terbabit secara langsung memandangkan ia memerlukan kerjasama dan tindakan pantas oleh Parlimen ASEAN.
"Usaha berterusan ini dapat dijalankan melalui pertukaran amalan baik berkaitan penggubalan undang-undang dan penelitian ke atas belanjawan serta tindakan kerajaan terhadap pelbagai isu berkepentingan," katanya.
Mesyuarat itu turut dihadiri Duta Besar Republik Indonesia ke Malaysia Datuk Hermono, Sekretaris Jenderal DPR RI Dr Indra Iskandar, Ahli Parlimen Paya Besar Datuk Mohd Shahar Abdullah dan Ahli Parlimen Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid.
Puan Maharani, wanita pertama dipilih sebagai speaker di DPR RI pada 2019, adalah anak bekas presiden wanita pertama Indonesia Megawati Sukarnoputri dan cucu pengasas Indonesia, Sukarno.
Pada Ogos lepas, Johari mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Umum Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN ke-44 di Jakarta, Indonesia.
Mesyuarat yang mengumpulkan delegasi daripada sembilan Parlimen di Asia Tenggara itu membincangkan peranan Parlimen agar lebih anjal dan responsif dalam menghadapi pelbagai krisis di rantau ASEAN.
-- BERNAMA