Johari lawat syarikat Huawei, teroka peluang tingkat perkongsian teknologi AI

Bernama
September 26, 2023 21:39 MYT
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul (tengah) melawat ke Pusat Konvensyen Huawei hari ini. - Foto BERNAMA
BEIJING: Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul hari ini diberi penghormatan melawat Pusat Konvensyen Huawei di sini yang antara lain bertujuan meneroka peluang mempertingkatkan pertukaran teknologi dan inovasi terutama dalam bidang kecerdasan buatan (AI).
Johari berkata lawatan itu adalah antara inisiatif Parlimen Malaysia dalam pembangunan sosioekonomi dan pertukaran teknologi, selain langkah proaktif menarik minat serta meningkatkan keterlibatan belia dalam sektor terbabit.
Beliau menyifatkan lawatan ke syarikat gergasi teknologi China itu penting dalam memupuk jalinan kerjasama antara organisasi dan perkongsian pengetahuan supaya dapat diterapkan dalam perkembangan pembangunan Malaysia.
"Keterlibatan belia dalam bidang AI bukan sekadar komitmen, bahkan suatu pelaburan yang baik untuk masa depan Malaysia dan penting kerana Asia serta ASEAN kini bergerak sebagai kuasa besar ekonomi global.
"Dalam perkembangan teknologi AI ini, kita perlu bekerjasama dengan China kerana kita ada kemampuan untuk melakukannya sebab kita ada ramai belia yang mempunyai bakat dan kepakaran," katanya kepada media Malaysia selepas lawatan itu.
Terdahulu, Johari dan delegasi Parlimen Malaysia serta Kedutaan Malaysia di Beijing tiba di pusat konvensyen berkenaan pada 12 tengah hari disambut Naib Presiden Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Huawei Asia Pasifik Zhengjun Zhang.
Dalam lawatan kira-kira dua jam itu, delegasi Malaysia turut diberikan taklimat mengenai operasi, produk serta teknologi yang digunakan syarikat gergasi itu khususnya pengaplikasian AI dalam setiap produk serta perkhidmatan Huawei.
Lawatan itu antara program sempena lawatan rasmi Johari ke Beijing sejak 23 Sept lepas atas undangan rakan sejawatnya Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan Republik Rakyat China Zhao Leji susulan pertemuan dua hala pemimpin legislatif itu di Parlimen Malaysia pada Mei.
Dalam pada itu, Johari turut bertekad untuk bekerjasama dengan pihak yang mempunyai komitmen tinggi bagi bersama membangunkan generasi belia menerajui negara agar cabaran semasa termasuk isu kemampanan, perubahan iklim dan keterjaminan makanan dapat ditangani dengan berkesan.
Huawei adalah syarikat gergasi teknologi utama China yang telah melabur dan memberi sumbangan besar kepada pertumbuhan industri teknologi maklumat Malaysia sejak 20 tahun lepas.
Kepakaran syarikat itu termasuk perkongsian pengetahuan teknologi dalam pengkomputeran awan, AI, tenaga boleh diperbaharui dan pusat data untuk menyokong keperluan latihan.
Pada 2001, Huawei memulakan operasinya di Malaysia untuk menyediakan latihan dan perkhidmatan sokongan teknikal serta memperkasakan ekosistem bakat digital tempatan.
-- BERNAMA
#kecerdasan buatan #teknologi AI #Johari Abdul #Huawei
;