KUALA LUMPUR: Tan Sri Johari Abdul mengakui beliau ‘terguris’ dengan sindiran Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) yang mengeluarkan kenyataan 'anak papa' terhadap Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani).

Yang Dipertua Dewan Rakyat itu berkata, tiada guna untuk Ahli Parlimen mencetuskan kekecohan dan menentangnya kerana beliau dipilih mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Tambahnya, beliau tidak mahu lagi isu sebegitu berlaku selepas ini dan menegaskan, sekiranya mereka tidak suka kepadanya, mereka boleh membuat usul dan menolak beliau daripada jawatan itu.

Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap kekecohan yang berlaku sebelum waktu rehat pada sesi pagi tadi di Dewan Rakyat.

"Saya mohon sangat jangan gaduh dengan saya, tidak ada sebab kerana tidak akan mendapat apa-apa bila bergaduh dengan saya.

"Saya hanya menjalankan tugas saya untuk selesaikan masalah rakyat. Kamu kedua-dua pihak nak gaduh saya tidak kisah, tetapi bila saya masuk ke Dewan Rakyat, sudahlah. Kita sambung sidang Dewan Rakyat," katanya.

Kekecohan bermula apabila beberapa Ahli Parlimen kerajaan bangkit mempertikai perkataan 'anak papa' yang disebut Awang di Dewan Rakyat.

Perkataan berkenaan disebut Awang ketika Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) bangkit meminta penjelasan apabila Dewan Rakyat mendahulukan usul dibawa Dr Mohammed Taufiq berbanding usul yang dibawa beliau sehari lebih awal.

Usul dikemukakan Mohammed Taufiq mengenai isu penyorokan 180 tan beras oleh sebuah kilang di Kedah itu diterima untuk dirunding di Kamar Khas pada Khamis.

"Apa yang Arau (Shahidan) bangkitkan saya tidak berlaku adil dengan tidak memberikan ruang untuk dia berucap adalah salah.

“Saya menerima cacian yang cukup banyak daripada media... yang saya tidak berlaku adil kepada Arau dan saya memberikan laluan kepada Sungai Petani (Mohammed Taufiq) dan ditambah teruk lagi dengan kenyataan Pendang (Awang Hashim) kata anak bapa.

"Saya mohon kalau nak bergaduh, gaduhlah sesama sendiri, jangan libatkan Speaker, kalau sudah libatkan saya, susah jadinya nanti, sebab saya ada semua bukti,” katanya.