Johari Abdul hadiri makan malam dihoskan rakan sejawat di Jepun, Fukushiro Nukaga

Bernama
Jun 4, 2024 22:00 MYT
Johari (duduk, empat, kiri), isteri dan delegasi Malaysia diraikan oleh Nukaga, isteri beliau, serta ahli-ahli Parlimen Jepun dalam majlis makan malam di kediaman rasmi Speaker di Chiyoda, Tokyo, semalam. - Facebook Johari Abdul
TOKYO: Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dan isterinya, Puan Sri Datin Noraini Mohd menghadiri majlis makan malam yang dihoskan oleh Speaker Dewan Perwakilan Jepun Fukushiro Nukaga.
Majlis itu diadakan di Kediaman Rasmi Speaker di Chiyoda di sini dan ia turut dihadiri oleh isteri Nukaga iaitu Mieko.
Johari diiringi Duta Besar Malaysia ke Jepun Datuk Shahril Effendi Abd Ghany dan isterinya, Datin Suriyah Abdullah.
Johari mengetuai delegasi Parlimen Malaysia ke Jepun dalam lawatan rasmi lima hari bermula Isnin lepas.
Jepun dan Malaysia menjalin hubungan diplomatik pada 1957.
Pada 2023, Jepun kekal sebagai rakan perdagangan keempat terbesar Malaysia selama sembilan tahun berturut-turut sejak 2015.
-- BERNAMA
#Jepun #Johari Abdul #lawatan rasmi #Speaker Parlimen Jepun