Johari Abdul Ghani layak jadi Menteri Besar Selangor - Penganalisis

Rahimah Abdullah
Mac 11, 2018 17:01 MYT
Penganalisis: Calon Menteri Besar dari luar kawasan diyakini mampu mengelak budaya sabotaj kalangan anggota parti.-Gambar fail
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani layak memegang jawatan Menteri Besar Selangor kerana bebas kontroversi dan musuh politik, Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff.
Pada masa sama beliau menjelaskan, pemilihan tokoh luar kawasan seperti Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu penting jika Barisan Nasional mahu menang semula negeri pentadbiran pakatan pembangkang itu.
Calon Menteri Besar dari luar kawasan diyakini mampu mengelak budaya sabotaj dalam kalangan anggota parti.
"Dalam politik Selangor ini, memang banyak peristiwa berlaku sabotaj antara satu sama lain seperti di Sepang pada PRU ke-13 sehingga menyebabkan BN kehilangan kerusi Sepang kepada Pas. Sebab itu, seorang tokoh yang diterima khusus dari luar sesuai untuk mengelakkan perpecahan dalam parti," katanya semasa dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.
Malah katanya, pemilihan Johari itu akan mengelak perbalahan antara anggota parti di Selangor.
"Saya merasakan kemasukan tokoh luar adalah baik sebab wujud kem-kem dalam Selangor. Kalau orang dari Wilayah Persekutuan dipilih maka masalah kem ini akan dapat diatasi," tambahnya.
Sebelum ini, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menolak khabar angin yang mendakwa beliau akan bertanding di Selangor dalam pilihan raya umum kali ini, sekali gus berpotensi untuk dicalonkan sebagai Menteri Besar.
Sebaliknya, Ahli Parlimen Titiwangsa itu mahu menumpukan terhadap kerusi Parlimen yang dipertandingkan di Kuala Lumpur.
#Astro #Astro Awani #Barisan Nasional #calon #JOHARI ABDUL GHANI #Kuala Lumpur #majlis tertinggi #Malaysia #menteri #Menteri Besar #Parlimen #PAS #pembangkang #pemilihan #pilihan raya #pilihan raya umum #politik #PRU #Sepang #UMNO
;