Johan MTHQA ke-64 bakal bawa pulang RM52,000

Khalis Khadir
September 23, 2024 19:19 MYT
Datuk Mohd Na’im Mokhtar (kanan) merasmikan Majlis Pra Pelancaran MTHQA ke-64 melibatkan 92 peserta dari 71 buah negara dengan Malaysia menghantar empat wakil yang berlangsung pada 5 hingga 12 Oktober.
KUALA LUMPUR: Pemenang tempat pertama bagi Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-64 akan membawa pulang hadiah bernilai RM52,000.
Johan bagi kategori tilawah dan menghafaz al-Quran masing-masing akan meraih wang tunai RM40,000 daripada kerajaan selain hadiah kepingan emas bernilai RM12,000 tajaan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar, majlis kali ini melibatkan 92 peserta dari 71 buah negara dengan Malaysia menghantar empat wakil.
“Naib johan bagi kedua-dua kategori akan beroleh RM30,000 dan kepingan emas tajaan YaPEIM bernilai RM12,000. Tempat ketiga pula meraih RM20,000 dan kepingan emas tajaan YaPEIM dengan nilai sama dan kesemua mereka akan terima hadiah iringan, sijil penyertaan dan cenderamata,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pra Pelancaran MTHQA ke-64, di sini, pada Isnin.
MTHQA ke-64 bertemakan Al-Falah Pemacu Malaysia Madani akan diadakan selama lapan hari bermula 5 Oktober di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur dengan perasmian disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah turut berkenan untuk berangkat dan menyempurnakan pengurniaan hadiah kepada pemenang utama pada 12 Oktober.
#Majlis Tilawah Al Quran #JAKIM #Mohd Na'im Mokhtar
;