Johan 'Jojo' Ghazali abai komen Muay Thai tidak boleh pergi jauh

Azib Zikry
Julai 6, 2024 13:00 MYT
Johan ‘Jojo’ Ghazali berkata dia bertuah dikurniakan 'darah pahlawan' menyebabkan namanya kini sentiasa disebut-sebut sebagai masa hadapan dunia sukan Muay Thai. -Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Tiada yang mustahil, jika bekalan displin, minat, dan konsistensi diterapkan dalam sukan yang diceburi.
Petarung sensasi muda Malaysia, Johan ‘Jojo’ Ghazali berkata dia bertuah dikurniakan 'darah pahlawan' menyebabkan namanya kini sentiasa disebut-sebut sebagai masa hadapan dunia sukan Muay Thai.
“Masa Jojo mula dulu, sukan ni orang kata Muay Thai tak boleh pergi jauh. Tapi saya tak dengar dan terus pergi sebab ini impian saya sejak kecil.
“Kini Jojo rasa berbesar hati dapat menjadi pemula dan penggerak kepada sukan ini.
“Jojo harap jika ada generasi muda yang berimpian sama seperti saya, pastikan ia terus hidup, dan pastikan mempunyai sistem sokongan yang kuat, dan terapkan disiplin serta konsistentensi,” katanya.
Meskipun tewas buat kali pertama awal bulan lalu dalam perlawanan One Championship di tangan juara WMF Muay Thai lima kali dari Vietnam, Nguyen Tran Duy Nhat, Jojo berkata ia memberinya pengajaran hebat dalam mencapai impian meraih gelaran sebagai juara dunia ONE Muay Thai suatu hari nanti.
Tanpa mengenal erti menyerah kalah, tumpuan Jojo dan pasukannya kini tertumpu kepada pertemuan seterusnya menentang Josue Cruz dari Mexico dalam perlawanan Muay Thai kelas flyweight dalam acara ONE Championship yang dinanti-nantikan di Amerika Syarikat - ONE 168: Denver.
“Untuk mendapat peluang membawa nama Malaysia ke nama dunia saya rasa bertuah.
“Kini persediaan seperti biasa akan mengubah beberapa perkara termasuk menerapkan pelan latihgan yang baharu.
"Saya kini sudah bersedia, kerana perlawanan seterusnya dalah satu perlawanan besar yang akan dihadiri oleh petarung-petarung hebat dari seluruh dunia," kongsinya dalam temu bual eksklusif bersama AWANI Pagi, pada Sabtu.
Jojo yang kini memegang rekod profesional sebanyak lima kemenangan dan satu kekalahan (5-1), mula beraksi di ONE Championship sejak Februari tahun lalu selepas berjaya meraih kontrak enam angka di organisasi itu dalam acara siri ONE Friday Fights.
Bakatnya semakin disedari terutama selepas kejayaan menumpaskan Edgar Tabares, yang merupakan juara Muay Thai Antarabangsa WBC, dalam masa hanya 36 saat pada penampilan sulung aksi Primetime US, ONE Championship, Disember tahun lepas.
#Jojo #Johan Ghazali #Atlet Muay Thai #darah pahlawan
;