Johan Jaaffar kesal Fahmi Fadzil bidas laporan BH

Astro Awani
April 1, 2023 12:13 MYT
Tan Sri Johan Jaaffar mengingatkan Fahmi Fadzil yang pernah berikrar dan menjanjikan media bebas membuat laporan dalam kerangka undang-undang sedia ada. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar, kesal dengan tindakan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang membidas siaran Facebook Berita Harian (BH) mengenai laporan jangkaan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR).
Menurut Johan, dakwaan laporan berkenaan satu penipuan dan fitnah oleh Fahmi yang juga menteri bertanggungjawab ke atas media dan sebagai jurucakap kerajaan sama sekali tidak wajar dan tidak bertanggungjawab.
“Beliau juga sepatutnya faham bahawa laporan itu memetik pandangan dan ramalan penganalisis.
“Ini merupakan amalan biasa dalam laporan pemberitaan bisnes dan urus niaga seperti juga
pandangan penganalisis politik dipetik untuk tujuan berita atau laporan politik semasa,” kata Johan dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu.
Bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu itu mengulas tindakan Fahmi yang menyelar laporan analisis BH bertarikh 30 Mac mengenai OPR disebabkan wujud kekeliruan hingga menjadi fitnah yang tersebar luas.
Kata Johan, dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, semua pandangan, baik yang menyokong atau menentang kerajaan seharusnya diberikan tempat.
Bahkan, Johan dalam kenyataannya itu turut menegaskan, saluran media bukan portal atau risalah rasmi kerajaan.
Apa yang dikesalkan Johan juga, kenyataan yang dikeluarkan Fahmi juga secara tidak langsung telah menanam rasa tidak yakin orang ramai ke atas media serta menjejaskan nama baik media tempatan.
Dalam masa sama, Johan mengingatkan menteri itu yang pernah berikrar dan menjanjikan media bebas membuat laporan dalam kerangka undang-undang sedia ada.
“Saya juga kecewa bahawa sebelum ini menteri berkenaan melenting dengan laporan persepsi dan skor Kerajaan Perpaduan yang dibuat oleh lima media arus perdana.
“Saya melihat kecenderungan yang tidak sihat apabila beberapa orang menteri mempertikaikan laporan media yang tidak menyebelahi mereka.
“Saya berpendapat hal ini berlaku disebabkan menteri-menteri berkenaan tidak cukup matang
untuk menangani isu media,” tegas Johan lagi.
Tindakan Fahmi menyelar laporan BH itu turut dibantah oleh Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM).
Menurut NUJM, menjadi amalan media di seluruh dunia untuk menyiarkan berita berdasarkan pendapat dan unjuran pakar industri.
"Sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap media, Fahmi seharusnya lebih peka dengan amalan dan cara kerja media tempatan.
"Tindakan beliau bukan saja menjejaskan laporan BH, malah komen yang ditulis dengan menggelar laporan itu sebagai 'fitnah dan pembohongan' telah menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan pembaca terhadap media," kata Presiden NUJM, Farah Marshita Abdul Patah dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.
Susulan kritikan yang dibuat, Fahmi telah mengadakan pertemuan bersama Pengarang Kumpulan BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman serta pengurusan tertinggi Media Prima Berhad.
"Sebenarnya rencana itu sekadar memetik pendapat seorang penganalisis, dan saya tiada masalah dengan laporan ini.
"Tetapi post FB itu jauh berbeza kerana memberi gambaran seolah-olah Bank Negara atau Kerajaan telah membuat keputusan. Ini tidak benar dan tidak adil kepada Bank Negara dan Kerajaan.
"Pengurusan BH faham apa yang saya maksudkan dalam hal ini dan telah bersetuju untuk membetulkan post tersebut," jelasnya.
#Johan Jaaffar #Fahmi Fadzil #laporan Berita Harian #kadar OPR
;