Johan hampir terlepas pesawat tunai haji
Shafizan Johari, Dzulfitri Yusop
Jun 9, 2024 21:17 MYT
Jun 9, 2024 21:17 MYT
JEDDAH: Johan Raja Lawak hampir terlepas pesawat untuk tunai haji selepas wujud işu tentang status visa haji beliau gara-gara kekeliruan nama pada visa miliknya itu.
Ringkasan AI
- Johan Raja Lawak hampir terlepas penerbangan Haji kerana kekeliruan nama pada visa di KLIA.
- Kekeliruan berjaya diselesaikan selepas lebih sejam berurusan dengan pihak penerbangan, dan mereka selamat tiba di Mekah.
- Johan dan isteri, bersama 13 pengamal media lain, dijemput oleh Kementerian Media Arab Saudi untuk menunaikan Haji.
Beliau menyatakan kekeliruan itu wujud semasa hendak berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menggunakan pesawat SAUDIA.
Beliau yang ditemui bersama isteri, aktres Ozlynn, bagaimanapun memanjatkan kesyukuran setelah kekeliruan tersebut berjaya diselesaikan.
Johan, ketika ditemui di Mekah, menceritakan situasi itu berlaku apabila nama penuhnya tidak tercetak pada visa miliknya.
Bagaimanapun, dirinya tetap tenang berhadapan dengan masalah tersebut dan beranggapan ia sebagai satu ujian buat dirinya sebelum berlepas ke Mekah.
“Alhamdulillah, selepas lebih sejam berurusan dengan pihak penerbangan, isu itu dapat diselesaikan,” katanya.
Johan dan Ozlynn merupakan antara 13 pengamal media yang dijemput oleh Kementerian Media Arab Saudi bagi mengerjakan rukun Islam kelima, musim haji tahun 1445H.
Mereka telah berangkat pada 7 Jun lalu, pada jam 5.30 petang dan selamat tiba di Mekah pada awal pagi keesokan hari.
Mereka juga menyertai delegasi media, antaranya dari Astro AWANI, Bernama TV, TV Alhijrah, Utusan Malaysia, dan Utusan TV yang membuat liputan musim haji tahun ini.
Kesemua mereka mendapat jemputan dari Kementerian Media Arab Saudi.