Jodoh OKU di WhatsApp

Salim Aziz
Februari 10, 2018 20:53 MYT
Amin Ridzuan sah bergelar suami kepada Siti Nor Azizah dengan sekali lafaz. -Astro AWANI
Kalau sudah jodoh, tidak ke mana.
Seorang lelaki kelainan upaya tidak menyangka perkenalan dalam kumpulan WhatsApp dengan wanita senasib berkesudahan sebagai pasangan suami isteri.
Amin Ridzuan Che Mohamad, 31 tahun, sah bergelar suami kepada Siti Nor Azizah Abdul Aziz, 29 tahun, dengan sekali lafaz di Kampung Menerong, di sini.
Perkahwinan pasangan itu yang kedua-duanya berkerusi roda menarik perhatian ramai, biarpun diraikan dalam majlis persandingan secara sederhana tetapi meriah dengan dihadiri lebih 1,000 tetamu dan turut diarak lebih 30 rakan berkerusi roda.
Amin Ridzuan berkata dia bersyukur bertemu jodoh dengan seorang wanita yang penyayang dan begitu suci hatinya.
Malah berharap perkahwinan berkekalan hingga ke akhir hayat.
Amin tidak dapat berjalan sejak tujuh tahun lalu akibat terbabit kemalangan jalan raya, sementara Azizah pula tidak dapat berjalan sejak lahir kerana demam panas.
Mengimbau detik perkenalan, Amin berkata isterinya merupakan cinta pandang pertama selepas pertemuan di rumah Azizah tahun lalu sebelum mengikat tali pertunangan pada Oktober 2017.
“Pertama kali kenal waktu kami semua jumpa dalam group OKU. Tahun lepas, istimewanya dia manis di mata saya,” katanya.
Azizah berkata walaupun mereka senasib tetapi mempunyai perasaan sama seperti insan lain.
Sikap lawak dan penyayang yang ada pada suaminya, menjadi tarikan utama membuatkan dia jatuh cinta.
“Dulu tak pernah keluar dengan sesiapa, lepas tu setahun ini, bila bertemu terus ada jodoh,” katanya.
Majlis kedua mempelai itu turut dihadiri rakan OKU dari seluruh negara.
“Selalunya kalau ada kenduri, kami akan turun tapi tak seramai ni la, ini yang paling ramai, yang ni kenduri kawin sahabat kami OKU. Sebab itu yang jadi ramai,” kata rakan pengantin, Johari Salleh.
#Amin Ridzuan Che Mohamad #bertemu jodoh #cinta pandang pertama #kelainan upaya #kemalangan #OKU #perkahwinan #Siti Nor Azizah Abdul Aziz #WhatsApp
;