Jodoh hanya 47 hari, Munirah pasrah suami meninggal akibat COVID-19
Sinar Harian
September 17, 2021 07:17 MYT
September 17, 2021 07:17 MYT
KUALA TERENGGANU: Masih dalam kehangatan cinta dan fasa bulan madu, seorang wanita terpaksa menerima hakikat suami yang baru dikahwini selama 47 hari meninggal dunia akibat dijangkiti COVID-19.
Lebih memilukan, Munirah Mamat, 37, dari Kampung Batu Hampar, Manir di sini sempat melayari kebahagiaan berumahtangga hanya lima hari sebelum suaminya terpaksa pulang ke Johor atas urusan kerja.
Cerita Munirah, dia berkahwin dengan Safri Muhamad, 50, yang berasal dari Ulu Tiram, Johor pada 29 Julai lalu di Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu selepas berkenalan selama 15 tahun.
“Selepas lima hari berkahwin, saya dan suami tinggal berasingan kerana arwah bekerja di Johor.
"Hanya panggilan video jadi penghubung sepanjang tempoh kami berjauhan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Dia yang bekerja sebagai pembantu jualan di sebuah pasar raya di sini berkata, arwah kemudian mengadu demam berpanjangan bermula 3 September sebelum disahkan positif COVID-19.
Ketika itu, katanya, Safri yang mempunyai penyakit asma sudah menerima vaksin namun tidak sempat melengkapkan dos kedua berikutan demam.
“Ketika kami berhubung melalui panggilan video, arwah pandang saya sambil tersenyum tapi jelas dia nampak letih.
"Saya bimbang melihat keadaan dia tapi hanya mampu berdoa,” katanya.
Wanita itu memberitahu, suaminya kemudian dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) pada jam 6.30 petang, 12 September selepas kesihatan merosot dan dia turut ke Johor bagi memantau perkembangan Safri.
Kata Munirah, kebimbangannya bertambah apabila doktor hubungi untuk meminta kebenaran menidurkan Safri, sejam selepas dimasukkan ke HSI kerana kadar oksigen dalam badan suaminya menurun.
“Waktu itu, saya sudah pasrah dan menyerahkan sepenuhnya kepada ALLAH SWT. Pada 14 September iaitu selepas 36 jam ditidurkan, pihak hospital hubungi saya dan beritahu suami meninggal dunia pada jam 7.15 pagi,” katanya.
Jenazah arwah selamat dikebumikan di tanah perkuburan Taman Mount Austin kira-kira jam 1 tengah hari.
Jelas Munirah, dia reda dengan takdir bahawa jodoh mereka hanya selama 47 hari dan menyifatkan arwah suaminya seorang yang bertanggungjawab serta penyayang.
“Arwah suami sebenarnya sudah merancang untuk berhenti kerja di Johor dan pulang ke Terengganu tinggal bersama saya namun apakan daya, impian kami tidak tercapai kerana ALLAH SWT lebih sayangkan dia,” katanya.
*Berita asal di Sinar Harian