Jocelyn Chia nyahaktif akaun media sosial, rakyat Singapura sifatkan lawaknya tidak kelakar

Bernama
Jun 8, 2023 14:17 MYT
Lawak Chia yang menyinggung perasaan juga tidak disukai rakyat Singapura, dengan seorang pengendali IG mendakwa seorang warga Singapura menyatakan jenaka komediri itu hanyalah ucapan kebencian. -Gambar fail/Media sosial
SINGAPURA: Akaun Instagram (IG) dan Twitter komediri Jocelyn Chia yang memperlekeh Malaysia dan tragedi MH370 telah dinyah aktif lewat Rabu malam, mungkin disebabkan oleh banyak laporan yang dibuat oleh netizen Singapura .
Semakan pada akaun IG pelawak di https://www.instagram.com/chiacomedy/ mendorong mesej: "Maaf, halaman ini tidak tersedia.
Pautan yang anda ikuti mungkin rosak atau halaman itu mungkin telah dipadam. Kembali ke Instagram."
Lawak Chia yang menyinggung perasaan juga tidak disukai rakyat Singapura, dengan seorang pengendali IG mendakwa seorang warga Singapura menyatakan jenaka komediri itu hanyalah ucapan kebencian.
"Saya warga Singapura, saya telah membuat laporan polis mengenai ucapan kebencian ini. Cuba lebih gigih lain kali," tulisnya di IG Chia malam tadi sebelum akaun komediri itu dinyah aktif.
Seorang lagi warga Singapura memuat naik komen pada akaun Facebook Suruhanjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur dan Konsulat Jeneral di Johor Bahru dengan idea untuk "mengajar Chia".
"Memberi komen secara negatif tentang Jocelyn Chia di Facebook tidak akan menyakitinya.
"Jika anda ingin memberinya pengajaran, cara terbaik ialah memberikan komen 1 bintang pada ulasan Google Comedy Cellar.
"Itu akan menggesa pemilik Comedy Cellar (kelab komedi) untuk bertindak balas," katanya.
Menurutnya, antara 6 pagi hingga 8 pagi pada 8 Jun lalu, rating Comedy Cellar turun daripada 4.7 kepada 4.4.
Video Chia mempersendakan Malaysia dalam persembahan komedi bertajuk "Singapore vs Malaysia" di New York, Amerika Syarikat kini tular.
Jenaka dibuat oleh peguam yang kemudian menjadi pelawak itu antaranya menyentuh mengenai pesawat malang Malaysia MH370 yang hilang pada 8 Mac 2014 selain membandingkan kemajuan antara kedua-dua negara.
Sementara itu, rakyat Singapura dalam komen mereka yang dilihat di IG Intan Maizura Othaman, isteri kepada kru MH370 Mohd Hazrin Mohamed Hasnan tampil memohon maaf .
"Rakyat Singapura sememangnya tidak menganggap perkara ini lucu. Saya juga marah. Dia tidak sepatutnya bergurau tentang perkara seperti ini.
"Kerana dia seorang yang buat salah kami yang tak bersalah pun terpalit. Kami mintak maaf banyak-banyak kepada semua ahli keluarga dan kakitangan MH370. Maafkan kami!," kata pengendali IG itu.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Luar Malaysia dan rakan sejawatnya dari Singapura, Dr Vivian Balakrishnan turut mengecam Chia.
Zambry dalam satu kenyataan meluahkan rasa kesal terhadap perbuatan individu terbabit yang langsung tidak menunjukkan sensitiviti dan empati terhadap rakyat Malaysia serta keluarga mangsa tragedi MH370.
Vivian dalam ciapannya berkata; "Saya terkejut dengan kenyataan jeliknya. Dia sememangnya tidak bercakap untuk rakyat Singapura.
"Kami menghargai hubungan kami dengan keluarga dan rakan-rakan di Malaysia dan memohon maaf atas kesalahan dan keterlanjuran yang dilakukan kepada semua rakyat Malaysia."
Terdahulu, Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia Vanu Gopala Menon menegaskan kenyataan Chia tidak sama sekali mencerminkan pandangan Singapura dan beliau dengan tulus ikhlas memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia atas kenyataan wanita itu yang menyakitkan hati,
-- BERNAMA
#Jocelyn Chia #MH370 #Singapura #nyahaktif akaun
;